Bersama Kuatkan Parti, Terajui Kekuatan Bangsa Di Pusat Pentadbiran – Ab Rauf

KUALA PILAH, 3 Ogos – Seluruh pejuang dan pendukung UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu berganding bahu untuk menguatkan semula parti agar ia dapat menerajui kekuatan bangsa di pusat pentadbiran.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, sejarah telah membuktikan bahawa UMNO adalah sebuah parti yang hebat kerana ia melahirkan pemimpin untuk meneruskan legasi mentadbir negara.

“Kita menang dengan cantik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Pada Pilihan Raya Umum (PRU), pusat daerah mengundi (PDM) yang saya menang, kita kalah. Di mana silap kita? Kita tidak pernah terfikir akan ada satu tsunami politik menyerang sehingga kita menjadi pembangkang selama 22 bulan.

“Kalau UMNO ini tidak kita jaga, maka kita akan wariskan malapetaka kepada generasi akan datang. Siapa yang sebenarnya cuba menjahanamkan UMNO ini? Kita dapat lihat siapa yang jadi Perdana Menteri selepas Datuk Seri Najib Razak semuanya adalah daripada UMNO.

“Tiada siapa yang dapat duduk di pentas pentadbiran negara kalau tidak dapat ‘ijazah’ daripada UMNO. UMNO ini sebuah parti yang hebat. Kita lahirkan pemimpin untuk meneruskan pentadbiran negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Pilah pada Ahad.

Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka turut menyeru seluruh ahli dan akar umbi untuk bangkit untuk meneruskan perjuangan serta berkorban untuk generasi akan datang.

“Kita kena kenal UMNO ini dulu baru kita boleh galas perjuangan yang dibawa. Dalam bendera UMNO ini ada segala-galanya. Ada perjuangan, pengorbanan… pada 1945, pemimpin-pemimpin Melayu atas desakan penjajah berkumpul di Champa dan memutuskan supaya pribumi diberi hak untuk tanah diserahkan kepada kita.

“Ketika itu wujud Gagasan Melayu Raya. Gagasan ini digambarkan dalam warna merah yang melambangkan keberanian dan putih kesucian. Warna inilah yang ada dalam bendera UMNO. Apabila terjadinya Gagasan Melayu Batu Pahat, ketika itulah UMNO diwujudkan.

“Perjuangan ini tidak terhenti dan ia diwariskan kepada anak cucu kita. Kita merdeka baru 68 tahun. Negara ini dijajah selama 446 tahun. UMNO ambil alih kuasa selama 64 tahun, terlungkup. Ini kerana kita lupa bahawa orang Melayu hanya tinggal kuasa politik. Tiada kuasa lain,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau juga berharap agar seluruh pendukung parti memanfaatkan media sebaiknya untuk mendekati para pengundi muda yang semakin bertambah setiap kali PRU.

“Belajarlah daripada keruntuhan Kerajaan Negeri Melaka. Kita perlu kuatkan semula UMNO. Kita mesti bersama-sama kuatkan parti ini agar kita dapat terajui semula kekuatan bangsa di pusat pentadbiran.

“Jangan alpa dan leka dengan apa yang kita ada. Kita kena bekerja dengan lebih kuat. Saya ingin menyeru agar para pengundi muda didekati melalui media sosial. Aktifkan media sosial, itu medium untuk mereka menilai kita.

“UMNO tidak boleh berdiri sendiri pada ketika ini sebab ‘ditempangkan’ sendiri oleh pemimpin kita yang terdahulu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad. Kita kena berdiri dengan yang lain untuk bangkit dengan lebih kuat lagi,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79