UMNO/BN Wajar Diberi Peluang Tanding Di Bongawan, Membakut – Mohamad Alamin
KIMANIS, 2 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin menegaskan bahawa UMNO wajar diberi peluang untuk kembali bertanding di dua kerusi tradisinya, iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan dan Membakut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Menurut beliau yang juga Timbalan Menteri Luar Negeri, kedua-dua DUN itu merupakan kawasan yang menjadi asas permulaan pengukuhan UMNO di Sabah dan telah lama menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) sebelum terlepas dalam PRN lalu.
“Bermula daripada kemasukan UMNO ke Sabah, Bongawan dan Membakut adalah antara kerusi tradisi UMNO dan kubu kuat BN sejak sekian lama. ‘Endorsement’ daripada perwakilan dan ketua-ketua cawangan di peringkat akar umbi sangat jelas.
”Oleh itu, saya merayu agar pucuk pimpinan mempertimbang untuk meletakkan calon BN daripada UMNO di kedua-dua kerusi tersebut,” katanya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Terdahulu berlangsung majlis perasmian serentak Mesyuarat UMNO Sabah bahagian Kimanis yang dirasmikan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Terbuka Tapak Tamu, Pelan Membakut dekat sini.
Turut serta pimpinan serta Ketua-Ketua UMNO Sabah serta perwakilan UMNO bahagian Kimanis.
Mohamad Alamin yang juga Ahli Parlimen Kimanis seterusnya menjelaskan bahawa satu daripada kerusi tersebut terlepas akibat tindakan lompat parti manakala satu lagi tewas dalam PRN lepas.
Justeru, katanya, misi UMNO Kimanis adalah untuk merampas kembali hak dan kepercayaan rakyat di kawasan itu.
“Ini misi kita. Kita mahu merampas semula hak kita. Satu kerusi dibawa lari, satu lagi kita tewas. Maka saya menyeru kepada Presiden dan barisan pimpinan agar memberi pertimbangan terhadap hasrat ini,” ujar beliau.
Tambah Mohamad Alamin, asas dan justifikasi untuk BN meletakkan calon UMNO di kedua-dua kawasan tersebut sangat kukuh berdasarkan kekuatan akar umbi yang masih teguh menyokong parti.
“Saya cukup optimis, jika diberi mandat dan kepercayaan untuk bertanding, insya-Allah, keputusan akan berpihak kepada kita. Kita yakin dapat menawan semula DUN Bongawan dan Membakut dalam PRN Sabah yang akan menjelang tidak lama lagi,” katanya lagi. – UMNO Online