PRN Sabah: Johari Alu Kerjasama GRS-PH

PULAI, 2 Ogos – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengalu-alukan kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Jelasnya yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, kerjasama tersebut amat bertepatan sekiranya semua pihak dalam gabungan mempunyai tujuan dan matlamat yang sama iaitu untuk membangunkan negara serta Negeri Sabah.

“Kita alu-alukan (kerjasama). Barisan Nasional (BN) dan PH, kita dah boleh. Ditambah pula dengan GRS, baguslah harmoni. Boleh menang semua 72 kerusi.

“Tiada masalah. Kita semua pakat-pakatlah. Kita yang nak bina negara dan negeri ini. Kalau semua ada tujuan dan matlamat yang sama, bukan untuk kepentingan diri, kita teruskan.

“Berkaitan strategi, itu nanti kita bincang. Apa yang penting, jangan berlaga sesama kita. Kalau perkara tersebut berlaku, orang lain yang untung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pulai, sebentar tadi.

Terdahulu media melaporkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan GRS akan meneruskan kerjasama politik dengan PH Sabah bagi menghadapi PRN yang akan datang.

Menurut beliau, kerjasama tersebut telah dipersetujui oleh semua parti komponen dalam GRS menerusi perbincangan yang diadakan sebelum ini.

Untuk rekod, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan gabungan itu sudah ‘mengunci’ kerjasama dengan PH sebagai rakan kongsi bagi menghadapi PRN Sabah akan datang.

Beliau berkata, keputusan itu dimuktamadkan sebagai sebahagian daripada komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama politik di negeri berkenaan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79