Mohamad Tegaskan Keharmonian Parti Kunci Sokongan Rakyat
KIMANIS, 2 Ogos – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menekankan bahawa keharmonian dalam parti merupakan asas penting untuk menarik sokongan rakyat, khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang kian hampir.
Dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Berkelompok UMNO Sabah Bahagian Kimanis, beliau melihat semangat kesepaduan yang ditunjukkan UMNO Kimanis cukup tinggi serta penuh semangat.
“Alhamdulillah, saya amat gembira. Berdasarkan pemerhatian saya, UMNO Kimanis berada dalam keadaan yang amat harmoni dan baik sekali. Ini petanda yang sangat positif,” kata beliau.
Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat UMNO bahagian Kimanis diadakan di Dewan Terbuka Tapak Tamu Pekan Membakut. Turut serta Ketua UMNO Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, Ketua-Ketua UMNO bahagian yang lain serta perwakilan empat peringkat UMNO Kimanis.
Mohamad yang juga Menteri Luar Negeri seterusnya menegaskan bahawa rakyat tidak akan menyokong parti yang berdepan perbalahan dalaman, sebaliknya mereka lebih cenderung menyokong parti yang stabil dan teguh.
“Teruskan keharmonian ini kerana orang luar sedang memerhati. Mereka akan menilai sama ada kita layak disokong. Dan sudah tentu mereka lebih rela memberi sokongan kepada parti yang harmoni dan bersatu hati,” tambahnya.
Beliau turut menyatakan bahawa UMNO kini merupakan parti paling harmoni di negara ini, hasil kepimpinan bersama yang teratur dan dasar yang stabil.
“Saya membantu Presiden menguruskan parti ini. Dan inilah naratif terbaik yang perlu kita tonjolkan kepada rakyat…naratif keharmonian dan kestabilan,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, ‘ombak Kimanis’ perlu bergabung dengan ‘ombak’ serta kekuatan daripada bahagian-bahagian lain di Sabah bagi memperkukuh kekutan UMNO/Barisan Nasional (BN) Sabah.
“Kita tengok dulu kenapa kita boleh menang…kerana kita muafakat dan bergerak bersama. Mari kita ambil kembali semangat itu. Ombak Kimanis yang bergabung dengan ombak bahagian lain akan membawa kemenangan besar kepada parti,” katanya.
Timbalan Presiden UMNO itu juga memberikan peringatan agar semua jentera mengelakkan perpecahan dalaman yang boleh melemahkan kekuatan parti sendiri.
“Perbalahan dalaman hanya akan pecahkan jentera. Pilihan raya bukan permainan. Ia umpama peperangan. Kalau kita ada kelebihan dan kekuatan, insya-Allah kita akan capai kemenangan,” katanya penuh semangat. – UMNO Online