Kajian Separuh Penggal Penting Bagi Mendepani PRU16 – Azhari

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari menyambut baik pendekatan kepimpinan tertinggi UMNO membabitkan kajian separuh penggal yang akan dilaksana.

Beliau menyifatkan ia sebagai platform terbaik untuk mendapatkan pandangan rakyat membabitkan Kerajaan Perpaduan terutama bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Kita sudah hampir pasti akan menghadapi PRU dalam dua tahun akan datang maka sudah tiba masanya satu kajian yang menyeluruh dan mendalam tahap keberkesanan Kerajaan Perpaduan ini.

“Macam mana nak menilai itu saya serahkan kepada pucuk pimpinan parti, tetapi penilaian tersebut mestilah adil dan tidak berat sebelah.

“Dapatkan tinjauan yang benar-benar menyeluruh di semua kategori penduduk tanpa mengira umur, jantina, bangsa, serta tahap kepuasan mereka terhadap kerajaan hari ini dengan jujur, termasuk juga pencapaian-pencapaian yang telah dicapai,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Katanya langkah ini sebagai peluang strategik untuk menambah baik kelemahan dalam pentadbiran kerajaan.

Menurut beliau, pendekatan ini bukan sahaja menunjukkan sikap tanggungjawab dan keprihatinan terhadap pandangan rakyat, malah penting untuk membina keyakinan pengundi.

“Jika penilaian ini tidak memberi keputusan yang positif, maka dua tahun inilah untuk kita baiki balik kelemahan-kelemahan

“Supaya rakyat benar-benar berasa puas hati dan wujudnya elemen feel good factor, sekali gus menjadikan kita lebih keyakinan untuk menghadapi pilihan raya akan datang,” ujar beliau.

Terdahulu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memaklumkan akan melaksana kajian separuh penggal bagi menilai keberkesanan dan prestasi Kerajaan Perpaduan Malaysia.

Kajian ini turut merangkumi penilaian terhadap pencapaian kepimpinan UMNO dalam barisan pentadbiran kerajaan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79