Bidas Pas: Kerajaan Negeri Pahang Memang Ditadbir Pemimpin Melayu, Islam

RAUB, 2 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Fadzli Mohamad Kamal menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pahang sememangnya diterajui oleh pemimpin yang berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Ujarnya, adalah lebih baik jika perbandingan dibuat untuk melihat kepada kemajuan negeri ditadbir dari segi ekonomi dan sebagainya.

“Menteri Besar Pahang memang Melayu, Islam. Kita barisan exco di Negeri Pahang ini pun memang Melayu, Islam. Nak kepimpinan Islam yang bagaimana lagi? Cuba kita bandingkan pencapaian Negeri Pahang ini dengan negeri-negeri yang ditadbir oleh mereka.

“Kita ambil contoh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang baru diumumkan untuk tahun 2024, Pahang menduduki tangga keempat. Pencapaian KDNK 57 peratus ini mengatasi pencapaian di peringkat pusat.

“Jadi, lihatlah di tangga mana negeri-negeri yang ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN) ini. Itu daripada segi KDNK. Daripada segi hasil pendapatan negeri, kita di tahap mana? Dari segi pelaburan negeri?” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Raub yakin bahawa rakyat rasional untuk menilai kerja keras Kerajaan Negeri Pahang bagi membangunkan negeri tersebut.

“Jadi pada saya, kita yang bekerja keras nak membangunkan negeri. Mereka yang mencari salah dan kelemahan kita… itu memang pendekatan mereka untuk menidakkan kita.

“Tapi pada saya, rakyat rasional nak menilai, melihat bagaimana kerja keras kita untuk bangunkan negeri ini. Saya nak sampaikan mesej ini kepada akar umbi… nak membina, membangun dan memajukan negeri ini bukan mudah. Tetapi nak meruntuhkan dan menidakkan apa yang kita buat, itu paling mudah.

“Itulah kerja mereka, pembangkang. Tugas kita adalah membangunkan dan memajukan negeri manakala mereka menidakkan kerja kita. Tetapi, rakyat dan akar umbi bijak menilai,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andasura Rabu menggesa agar kuasa politik di Negeri Pahang dikembalikan kepada orang Melayu-Islam susulan tindakan UMNO/BN mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu.

Dakwanya, langkah tersebut merupakan pengkhianatan terhadap rakyat Pahang dan mencerminkan keghairahan parti itu untuk mengekalkan kuasa walaupun terpaksa mengetepikan prinsip. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79