Ziarah Prihatin UMNO Beaufort Terus Disemarak, Santuni Golongan Memerlukan

BEAUFORT, 1 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat meneruskan komitmen kebajikan melalui Ziarah Prihatin anjuran Biro Kebajikan UMNO Bahagian Beaufort yang menyantuni penduduk memerlukan.

Kali ini, gerak kerja turun padang tersebut dilaksana di sekitar Menumbok dan Kuala Penyu di sini.

“Ziarah Prihatin merupakan satu pendekatan yang sangat penting dan berkesan dalam menjalin hubungan erat antara parti dan rakyat malah ini telah sebati dalam perjuangan UMNO.

“Program seperti ini bukan sekadar simbolik atau rutin semata-mata, tetapi membawa pelbagai manfaat besar kepada semua,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, melalui pendekatan turun padang ini, ia bukan sahaja dapat menyantuni rakyat secara langsung, malah berpeluang melihat sendiri keadaan hidup serta cabaran harian yang dihadapi oleh golongan memerlukan.

“Ini termasuk isu berkaitan kesihatan, kebajikan, kerosakan infrastruktur dan keperluan bantuan segera. Selain menyampaikan bantuan berbentuk barangan keperluan harian, lawatan sebegini juga membolehkan semua pihak saling kenal selain menilai masalah sebenar yang wujud di peringkat komuniti setempat, seterusnya merangka penyelesaian yang lebih berkesan dan berpaksikan realiti.

“Program sebegini menjadi platform untuk memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan sukarelawan, jawatankuasa PDM, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi yang terlibat secara langsung dalam usaha membantu rakyat.”

Maklum Awang Aslee, dalam salah satu kunjungan baru-baru ini, beliau telah diwakili oleh ketua PDM Tanjung Aru, Mahali Lakat bersama jawatankuasanya menziarahi Adik Khairil Aswas Mohd Sahrom di Kg. Melikai, Menumbok yang terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan kakinya patah.

Sementara itu, Biro Kebajikan UMNO Bahagian Beaufort turut menyantuni beberapa keluarga yang baru kehilangan insan tersayang iaitu keluarga Allahyarhamah Jauyah Ismail di Kg. KPD Menumbok, keluarga Allahyarhamah Rabidah Abdul Hamid di Kg. Jungkun, dan keluarga Allahyarham Maslin Jumat di Kg. Melikai selain di Kg. Nalitang, Kuala Penyu, keluarga mendiang Jining Kimson turut disantuni.

“Ziarah-ziarah ini mencerminkan semangat solidariti UMNO Beaufort tanpa mengira latar belakang kaum dan agama. Program ini bukan hanya membawa sumbangan fizikal, tetapi juga semangat kebersamaan dan sokongan moral kepada mereka yang sedang diuji.

“UMNO Beaufort terus komited dalam memperkukuh nilai kebajikan dan prihatin terhadap masyarakat setempat, sejajar dengan misi memperkasakan khidmat bakti kepada rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79