RMK13: Khaled Nordin Sambut Baik Penekanan Terhadap Keselamatan Negara
PUTRAJAYA, 1 Ogos – Menteri Pertahanan merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyambut baik pembentangan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertemakan “Melakar Semula Pembangunan” di Dewan Rakyat, semalam.
Menurut beliau, tumpuan khusus yang diberikan kepada aspek keselamatan di bawah Tumpuan 8: Meningkatkan Mutu Kehidupan Rakyat, jelas mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap soal keselamatan awam dan kedaulatan negara demi kesejahteraan rakyat.
“Tumpuan ini merangkumi pemerkasaan pertahanan melalui teknologi termaju, usaha menangani ancaman keselamatan semasa, pengukuhan diplomasi, peningkatan kawalan sempadan, serta pembangunan ekosistem industri pertahanan negara,” katanya.
Khaled turut menegaskan bahawa kesejahteraan anggota tentera turut menjadi agenda utama dalam RMK13, termasuk penyediaan kediaman, perkhidmatan kesihatan, sokongan sosial dan peluang pekerjaan selepas persaraan.
Beliau berkata penekanan terhadap kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kebajikan warganya mencerminkan komitmen kerajaan dalam menjaga kedaulatan tanah air serta menghargai pengorbanan anggota pertahanan.
“Kementerian Pertahanan komited melaksanakan segala perancangan lima tahun ke hadapan selaras dengan RMK13 demi kestabilan dan kemakmuran negara,” tambah beliau lagi. – UMNO Online