PM Singapura Sambut Baik Kemajuan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura, Sedia Perluas Kerjasama
KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong menyambut baik kemajuan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), sekali gus mencerminkan keyakinan tinggi terhadap hala tuju kerjasama strategik dua hala antara Johor dan Singapura.
Perkara itu dizahirkan dalam pertemuan rasmi beliau bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan delegasi Kerajaan Negeri Johor di The Istana semalam.
Ujar Onn Hafiz, pertemuan itu bukan sekadar simbol hubungan akrab dua negara berjiran, malah mencerminkan tekad bersama untuk memperkukuh kerjasama ke tahap lebih strategik dan holistik.
“Dalam sesi perbincangan, saya telah berkongsi kemajuan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) termasuk penubuhan Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J) yang kini menjadi pemudah cara utama pelaburan dan penyelarasan dasar.
“Sehingga kini, Johor telah menerima lebih 577 pertanyaan pelaburan, dengan 70 pelabur menunjukkan minat serius termasuk 11 syarikat yang dirujuk terus oleh agensi pelaburan Singapura.
“Menjunjung Titah DYAM Pemangku Sultan Johor, saya telah mengutarakan cadangan strategik termasuk menghubungkan Tuas ke Iskandar Puteri melalui sistem RTS2,” ujarnya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.
Selain itu, beliau turut berkongsi prestasi memberangsangkan ekonomi Johor pada suku pertama tahun ini, termasuk pencapaian pelaburan mencecah mencecah RM30.1 bilion. Johor juga mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 6.4%, yang tertinggi di Malaysia, sekaligus membuktikan keyakinan pelabur terhadap Johor sebagai destinasi pelaburan yang kukuh, stabil dan strategik.
“Perdana Menteri Singapura menyambut baik kemajuan JS-SEZ, serta turut berkongsi pandangan positif mengenai potensi kerjasama yang lebih luas merangkumi sektor tenaga, logistik serantau dan pengukuhan hubungan dua hala antara Johor dan Singapura.
“Beliau turut menghargai usaha berterusan Johor dalam memastikan pasaran buruh yang adil dan berdaya saing, di samping menyatakan keterbukaan untuk meneliti cadangan-cadangan yang dikemukakan secara konstruktif.
“Secara keseluruhan, perbincangan ini amat positif dan saya yakin pertemuan ini membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala Johor–Singapura. Semoga segala yang dibincangkan ini dapat dilaksanakan dengan baik sekali gus memberi manfaat kepada rakyat di kedua-dua buah negara. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online