Melaka Sasar Teroka Potensi Sumber Alam Ke Tahap Lebih Tinggi
KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Kerajaan Negeri Melaka komited memanfaatkan peluang kerjasama antarabangsa dalam usaha memperkasa ekonomi negeri melalui sektor pertanian, pelancongan dan pelaburan berasaskan sumber alam.
Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata demikian selepas mengetuai delegasi kerajaan negeri dalam kunjung hormat ke atas Duta Besar Malaysia ke New Zealand, Puan Yang Terutama Mazita Marzuki.
Ujarnya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya, pertemuan itu membuka ruang jalinan diplomatik lebih erat antara Melaka dan New Zealand khususnya dalam inovasi agro dan sektor strategik lain.
Delegasi turut berkesempatan melawat Zealong Tea Estate di Hamilton, satu-satunya ladang teh organik komersial di negara itu.
“Lawatan ini memberi pendedahan berharga tentang pengurusan ladang teh organik secara menyeluruh daripada penanaman, pemprosesan, pembungkusan hinggalah pemasaran global.”
Katanya, Kerajaan Negeri Melaka melihat potensi besar untuk anak-anak syarikat serta GLC negeri meneroka model seperti ini.
“Melaka melihat potensi besar untuk anak-anak syarikat dan GLC negeri mencontohi model ini bagi mempelbagaikan sumber pendapatan serta menjadikan agropelancongan sebagai pemacu baharu ekonomi negeri. Inilah masanya kita membina rangkaian strategik dan mengangkat potensi sumber alam ke tahap lebih tinggi,” ujar beliau lagi. – UMNO Online