Malam Mega Selawat Satukan Jiwa, Suburkan Keberkatan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Malam Mega Selawat sempena Karnival Mega 3 Dimensi 2025 (MK3D2025) sebagai satu manifestasi penyatuan jiwa umat Islam dan penyemaian keberkatan melalui cinta kepada Rasulullah SAW.

Bertempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, program yang berlangsung malam tadi diserikan dengan alunan merdu selawat serta kehadiran anak-anak tahfiz yang menambahkan seri dan kesyahduan majlis tersebut.

Majlis turut menyaksikan penyerahan zakat korporat berjumlah RM4,776,569.93 kepada Pusat Pungutan Zakat-MAIWP (PPZ-MAIWP) daripada beberapa institusi utama FELDA, antaranya:
• RM1,772,947.76 oleh Koperasi Permodalan FELDA (KPF)
• RM1,727,951.03 oleh Koperasi Generasi FELDA Baru Berhad (KGFB)
• RM119,575.00 oleh FELKOP
• RM46,096.14 oleh KOGUNA
• RM1,110,000.00 oleh FGV Holdings Berhad bagi agihan wakalah termasuk program Yasin bulanan di masjid-masjid serta ziarah kasih asnaf di PPR sekitar Wilayah Persekutuan.

Ahmad Zahid menyeru agar lebih banyak institusi, termasuk sektor swasta, mencontohi usaha mulia ini bagi memperkukuh kesejahteraan ummah secara berterusan.

“Semoga setiap bait selawat yang dilantunkan dan amal kebajikan yang dizahirkan menjadi asbab turunnya rahmat dan keberkatan buat kita semua. Saya juga mendoakan agar segala urusan penganjuran MK3D2025 dipermudahkan dan sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79