Kelab NKB 1Malaysia Kesal Pihak Persenda Titah Adendum

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Kelab Naib Ketua UMNO Bahagian 1Malaysia menzahirkan rasa kesal terhadap pihak tertentu yang cuba mempertikai dan mempersenda Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan Datuk Seri Najib Tun Razak dikenakan tahanan rumah.

Pengerusinya, Datuk Rosmadi Ismail berkata tindakan sebegini tidak mencerminkan adab terhadap Raja dan hanya memperlihatkan keangkuhan terhadap prinsip Raja Berperlembagaan yang menjadi asas sistem pentadbiran negara.

“Kelab NKB 1Malaysia terus kekal setia menjunjung institusi Raja, Perlembagaan Persekutuan dan prinsip keadilan sejati.

“Titah yang sah wajar dilaksana tanpa lengah kerana keadilan yang ditangguh adalah keadilan yang dinafikan,” katanya.

Beliau berkata demikian usai Majlis Rahmah Mesra Kelab NKB1Msia dan solat hajat untuk keselamatan dan kesejahteraan Datuk Seri Najib Tun Razak yang berlangsung di Surau Ar-Rahman Pusat Dagangan Dunia, malam tadi.

Dalam pada itu beliau memaklumkan Kelab NKB 1Malaysia amat menghargai kesepakatan Ketua-ketua UMNO Bahagian seluruh negara yang telah berhimpun pada 17 Julai 2025 lalu bagi menzahirkan sokongan dan solidariti.

Rosmadi berkata ini termasuk dengan tindakan 160 Ketua UMNO Bahagian seluruh negara serta keterbukaan Perdana Menteri untuk mencari penyelesaian terbaik demi keadilan dan kedaulatan undang-undang.

“Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan seorang tokoh negarawan yang telah memberi sumbangan yang sangat besar kepada pembangunan negara, termasuklah melalui pelbagal dasar transtormasi ekonomi dan pembangunan infrastruktur yang masih memberi manfaat kepada rakyat sehingga kini.

“Sumbangan beliau tidak wajar dipinggirkan, dan sebagai warganegara Malaysia, beliau juga berhak menerima layanan yang adil dan saksama di sisi undang-undang,” ujar beliau.

Terdahulu pada bulan lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dilapor tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum dikatakan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Sebaliknya, AGC mempertikaikan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman Najib di Mahkamah Tinggi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79