Bung Gesa Tambah Baik Sistem Kesihatan Awam Sabah

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin
mendesak kerajaan negeri untuk menyediakan pelan tindakan khusus bagi menambah baik kemudahan kuarters, akses jalan ke fasiliti kesihatan pedalaman, serta kelengkapan asas di klinik dan hospital daerah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata ini kerana pengabaian terhadap kemudahan tersebut bukan sekadar menjejaskan moral dan motivasi petugas kesihatan, malah turut mengancam kelangsungan khidmat kepada masyarakat luar bandar dan pedalaman.

“Dalam jangka masa panjang, ia akan menghakis kepercayaan terhadap sistem kesihatan awam dan memperluas lagi jurang perkhidmatan antara wilayah.

“Sabah bukan kekurangan semangat penjawat awam, tetapi sering kali gagal menyediakan keperluan asas yang menjadi prasyarat perkhidmatan berkualiti.

“Ramai pegawai perubatan dari Semenanjung melahirkan rasa enggan atau berat hati untuk menerima penempatan ke Sabah bukan kerana enggan berkhidmat, tetapi kerana prasarana di lokasi tugas amat terhad jalan yang rosak, kuarters daif, bekalan air dan elektrik tidak konsisten, serta akses komunikasi yang lemah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut beliau turut mencadangkan agar penubuhan satu jawatankuasa khas bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengenal pasti lokasi-lokasi kritikal yang memerlukan peningkatan segera agar pegawai lantikan baru tidak berasa dihantar ke ‘zon pengabaian’.

Katanya lagi, jika kerajaan negeri serius mahu memastikan Sabah tidak terus ketinggalan dari segi agihan tenaga pakar dan pegawai perubatan, tumpuan mesti diberi bukan hanya kepada angka pelantikan tetapi kepada kualiti penerimaan perkhidmatan.

“Tanpa penyediaan sokongan asas yang sistematik dan berdaya huni, langkah mewajibkan penempatan di Sabah berisiko menjadi satu paksaan tanpa hasil jangka panjang.

“Sabah wajar menjadi medan pengkhidmatan yang membina kerjaya dan semangat khidmat awam bukan medan ujian ketahanan semata-mata,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79