ADUN Jeram Padang Sambut Baik RMK13, Fokus Kepada Rakyat Dan Pembangunan Luar Bandar

JEMPOL, 1 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Mohd Zaidy Abdul Kadir menyambut baik pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen semalam yang disifatkannya sebagai kerangka hala tuju negara yang berfokuskan kepada rakyat.

Menurut beliau, RMK13 merupakan kesinambungan pembangunan yang dirangka kerajaan dalam usaha memacu kemajuan negara meskipun berdepan dengan cabaran ekonomi global masa kini.

“RMK13 adalah nafas baharu yang memberi penekanan kepada rakyat sebagai fokus utama pembangunan. Ia memberi harapan kepada semua lapisan masyarakat untuk masa depan yang lebih baik,” katanya kepada UMNO Online.

Mohd Zaidy turut menghargai tumpuan khusus yang diberikan kepada pembangunan luar bandar, pelancongan desa, pendidikan awal kanak-kanak serta usaha memperkasa ekonomi Bumiputera menerusi perancangan rapi yang terkandung dalam RMK13.

Beliau berkata, penekanan ini juga selari dengan pendirian Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu teras pembangunan luar bandar dilaksanakan secara tersusun dan berimpak besar.
“Inilah iltizam bersama untuk membina masa depan yang lebih sejahtera dan adil buat semua rakyat tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Terdahulu Mohd Zaidy telah melaksanakan Program Ziarah Kasih bersama kepimpinan Felda Palong 1 sebagai sebahagian usaha Pusat Khidmat ADUN Jeram Padang untuk mendekati masyarakat yang memerlukan.

Ujarnya, program tersebut memberi tumpuan kepada beberapa individu yang sedang menghadapi masalah kesihatan, antaranya Mohd Zahran Mohd Azmi, yang bakal menjalani pembedahan jantung dalam masa terdekat; Rozeta Abdul Majid, pesakit kanser darah tahap 4; Noor Majidah binti Buyong, yang menghadapi masalah bisul kronik dan memerlukan rawatan berterusan serta Osman Samat, yang baru pulih daripada kemalangan jalan raya.

“Saya amat tersentuh dengan semangat yang ditunjukkan oleh barisan kepimpinan Felda Palong 1 dalam menjayakan program ini. Kita akan terus pastikan tiada rakyat yang terpinggir daripada menerima perhatian dan bantuan sewajarnya,” ujarnya.

Mohd Zaidy juga menegaskan pendekatan turun padang dan menyantuni rakyat akan terus menjadi keutamaan selaras dengan semangat RMK13 yang mengutamakan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79