UMNO Perlu Cari Jalan Dekati Pengundi Muda – Ismail

KUALA KRAU, 30 Julai – UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu mencari jalan untuk mendekati pengundi-pengundi muda bagi mengenalpasti kehendak mereka agar sokongan dapat diterjemahkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, perkara tersebut penting terutamanya dalam persiapan untuk merampas kembali kerusi Parlimen Kuala Krau dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka.

“Saya mengucapkan rasa syukur di atas kelancaran Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Krau yang telah dirasmikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Gabungan dua tokoh utama di peringkat pusat dan negeri membuktikan bahawa kita cukup bekerjasama dan saling membantu di antara satu sama lain.

“Presiden berpesan bahawa yang pertama kita mesti rapatkan barisan, jangan ada masalah di antara kita. Dalam perjuangan ini ada dua perkara iaitu mesti bersifat ikhlas dan jujur dalam menunaikan tanggungjawab. Apabila rakyat lihat parti ini dalam keadaan stabil, maka mereka akan menilai bahawa UMNO adalah sebuah parti yang betul-betul memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

“Dalam persiapan untuk merampas kembali kerusi Parlimen Kuala Krau dan DUN Jengka, menjadi harapan saya sebagai Ketua UMNO Bahagian bersama pimpinan di bahagian serta sayap Wanita, Pemuda, Puteri… kita mesti turun padang mendekati semua lapisan pengundi,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, para pemimpin perlu memahami dan menghayati apa yang diperlukan oleh pengundi-pengundi muda kerana ianya berbeza mengikut latar belakang ekonomi masing-masing.

“Kalau kita lihat di DUN Jengka ini, 64 peratus daripadanya adalah pengundi muda dan kita sebagai pemimpin mesti menghayati dan merasai kemahuan mereka di kawasan setempat. Keperluan mereka ini berbeza mengikut latar belakang ekonomi masing-masing.

“Kita mesti duduk bersama mereka, berbincang secara santai. Kita perlu mengambil berat terhadap kebajikan dan keperluan mereka. Kalau kita sebagai pemimpin, tidak pernah menyapa bahkan menegur… apabila tiba musim pilihan raya baru kita nak berbuat demikian, siapa yang nak datang dekat dengan kita? Mereka akan menganggap kita ini sombong.

“Jadi, Insya-Allah UMNO Bahagian Kuala Krau akan bangkit. Dekatilah para pengundi muda dari sekarang. Selami dan fahami kehendak mereka. Ambil peluang untuk dekati mereka dan Insya-Allah sokongan tersebut akan diterjemahkan pada PRU ke-16 kelak,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79