Kredibiliti Onn Hafiz Bawa Johor Terbang Tinggi – Abdul Halim
KUALA LUMPUR, 31 Julai – Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman menyifatkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sekali lagi membuktikan Johor negeri berwibawa apabila dianugerahkan Lee Kuan Yew Exchange Fellowship (LKYEF).
Beliau yang juga Setiausaha UMNO Negeri Johor berkata ia sekaligus menjadikan Onn Hafiz sebagai Menteri Besar Johor pertama yang menerima pengiktirafan berprestij itu.
“Bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor, anugerah ini bukan sekadar satu pencapaian peribadi Onn Hafiz, ia adalah lambang pengiktirafan kepada kepimpinan Johor di pentas serantau dan membuktikan hala tuju pentadbiran negeri kini berada di landasan yang betul.
“Pucuk pimpinan UMNO dan BN Johor sepakat sehati sejiwa menyatakan rasa bangga mereka terhadap pencapaian ini.
“Kejayaan ini adalah milik Johor. Ia membuktikan kepimpinan muda kita diiktiraf di luar negara, sekali gus mengharumkan nama negeri,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Abdul Halim memaklumkan sepanjang lawatan rasmi ke Singapura dalam rangka program ini, Onn Hafiz dijangka mengadakan pertemuan dengan pemimpin kanan republik itu, berbincang tentang pembangunan bandar, ekonomi, pengangkutan dan pelbagai aspek kerjasama dua hala.
Malah katanya pengiktirafan ini juga dilihat sebagai mesej jelas kepada semua pihak bahawa Johor kini dipimpin oleh pemimpin muda yang bukan sahaja diterima di peringkat negeri dan nasional, malah dihormati di pentas antarabangsa.
“Dengan sokongan padu dari akar umbi, UMNO dan BN Johor menyatakan kesediaan kami untuk terus berdiri teguh di belakang Onn Hafiz. Johor Maju bukan sekadar slogan, ia adalah agenda besar yang sedang direalisasikan. Dan kami akan pastikan usaha ini mendapat sokongan penuh.
“Johor sedang bergerak laju. Dengan anugerah ini, Onn Hafiz membawa sekali semangat baharu bahawa negeri ini mampu menjadi hub ekonomi, pelaburan, dan pembangunan serantau.
UMNO dan BN Johor sesekali takkan lepaskan peluang untuk terus bersama MB muda ini dalam perjalanan menuju Johor Maju,” ujar beliau. – UMNO Online