Ketua UMNO Putatan Komited Terus Sokong Program Kemasyarakatan Demi Rakyat

PUTATAN, 31 Julai – Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed menegaskan komitmen beliau untuk terus menyokong pelbagai program kemasyarakatan yang mampu memberi impak langsung kepada penduduk setempat, khususnya dalam aspek pembangunan kemahiran, keusahawanan dan kesejahteraan hidup.

Beliau hadir menyempurnakan Program Jangka Pendek Photo Phone anjuran KEMAS Daerah Putatan yang berlangsung di Pusat NADI Kampung Muhibbah,baru-baru ini menyambut baik usaha yang dilaksana.

Katanya, program ini memberi pendedahan kepada peserta tentang teknik fotografi menggunakan telefon pintar iaitu satu kemahiran penting dalam era digital masa kini, terutamanya bagi mereka yang menjalankan perniagaan secara atas talian.

“Saya menyambut baik inisiatif seperti ini. Walaupun program ini berskala kecil, impaknya besar kepada peserta, terutama dari segi menambah ilmu yang boleh digunakan untuk memajukan diri dan keluarga. Ini merupakan satu tambah nilai yang sangat bermanfaat,” katanya kepada UMNO Online.

Jeffery Nor turut menegaskan bahawa beliau akan terus menjadi penyokong utama kepada program-program seumpama ini kerana ia bertepatan dengan aspirasi membantu rakyat secara menyeluruh.

“Saya percaya usaha sebegini bukan sahaja membantu individu, malah mampu merangsang pertumbuhan komuniti yang lebih progresif dan berdaya saing. Justeru, saya akan pastikan lebih banyak program kemahiran dan pembangunan sosial diperluaskan di Putatan, selari dengan keperluan semasa masyarakat.”

Beliau juga menyeru agar lebih banyak agensi dan pertubuhan tampil berganding bahu menganjurkan program pembangunan masyarakat, dengan fokus kepada pendidikan tidak formal, peningkatan ekonomi isi rumah, dan penglibatan belia dalam aktiviti berfaedah.

“Sokongan saya tidak terhenti di sini. Selagi ada ruang dan peluang, saya akan terus berada di barisan hadapan membantu dan memperjuangkan kebajikan rakyat Putatan. Ini tanggungjawab yang saya pikul dengan sepenuh hati,” ujarnya lagi.

Program tersebut disertai oleh penduduk sekitar Kampung Muhibbah dan mendapat sambutan yang menggalakkan, mencerminkan minat masyarakat terhadap peluang pembelajaran yang praktikal dan bermanfaat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79