Kenyataan Ahmad Fadhli Persenda Usaha Damai Tunjuk Pemikiran Tidak Sihat Pembangkang – Ruzaini

PADANG BESAR, 31 Julai – Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais menyelar tindakan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang mempersendakan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mendamaikan konflik antara Thailand dan Kemboja.

Menurut Ruzaini, kenyataan yang dimuat naik Ahmad Fadhli di Facebook baru-baru ini tidak hanya biadab, malah mencerminkan pemikiran yang tidak sihat dalam kalangan pembangkang apabila memperlekehkan peranan Perdana Menteri sebagai Pengerusi ASEAN.

“Tidak sepatutnya seorang Ahli Parlimen mempersendakan usaha damai yang bertujuan menyelesaikan konflik dua negara jiran. Ia menunjukkan tahap pemikiran negatif dan tidak bertanggungjawab,” katanya kepada UMNO Online.

Ahmad Fadhli sebelum ini didakwa memuat naik hantaran satira dengan menyamakan peranan Malaysia sebagai orang tengah dalam konflik itu dengan watak ‘monyet’ yang cuba mendamaikan ‘kambing dan biri-biri’ berebut pisang. Hantaran tersebut dikaitkan dengan laporan Bangkok Post, sebelum dipercayai dipadam selepas menerima kecaman.

Ruzaini menegaskan bahawa tindakan seperti itu tidak sepatutnya datang daripada seorang pemimpin rakyat, apatah lagi dalam konteks hubungan antarabangsa dan peranan Malaysia di peringkat serantau.

“Sebagai pembangkang, mereka sepatutnya menyokong usaha yang membawa manfaat kepada negara, bukan mempermainkan inisiatif perdamaian yang melibatkan imej dan peranan Malaysia di mata dunia,” katanya lagi.

Terdahulu ketegangan yang tercetus antara Thailand dan Kemboja akhirnya menemui titik noktah apabila Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menjadi orang tengah dalam memeterai persetujuan genjatan senjata antara kedua-dua negara.

Pada Isnin berlangsung perbincangan di Kompleks Seri Perdana dan disertai oleh TYT Phumtham Wechayachai, Pemangku Perdana Menteri Thailand, serta TYT Hun Manet, Perdana Menteri Kemboja.

Persetujuan bersejarah itu sekali gus membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala Thailand-Kemboja dan memperlihatkan peranan aktif Malaysia dalam mempromosi keamanan dan kestabilan serantau.

Pada sidang media bersama selepas mesyuarat itu, Anwar berkata, kedua-dua negara bersetuju melaksanakan beberapa langkah susulan.

Ini termasuk mengadakan mesyuarat tidak rasmi antara komander wilayah satu dan dua bagi pihak Thailand dan wilayah empat serta lima bagi pihak Kemboja selain mesyuarat bersama atase pertahanan yang akan dipengerusikan ASEAN akan diadakan jika dipersetujui oleh kedua-dua pihak. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79