Kajian Semakan Pindaan Akta Orang Asli 1954 Sedang Dilaksanakan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Kerajaan sedang dalam tindakan untuk meminda Akta Orang Asli 1954 [Akta 134] yang tidak pernah dipinda sejak ia berkuat kuasa pada tahun 1954.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, semakan pindaan akta tersebut dilaksanakan untuk memperhalusi peruntukan semasa secara menyeluruh.

“Untuk makluman, kerajaan sedang dalam tindakan untuk meminda Akta Orang Asli 1954 [Akta 134] yang tidak pernah dibuat apa-apa pindaan substantif sejak berkuat kuasa pada 1954.

“Untuk tujuan tersebut, Kajian Semakan Pindaan Akta Orang Asli 1954 sedang dilaksanakan bagi memperhalusi dan mengkaji semula peruntukan semasa dalam Akta 134 secara menyeluruh serta mengenal pasti jurang dalam pelaksanaan akta tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT), menjawab soalan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, terdapat beberapa perkara dan isu telah dikenalpasti serta memerlukan pindaan sewajarnya.

“Berdasarkan hasil dapatan awalan kajian dan juga sesi libat urus berhubung pindaan akta ini, beberapa perkara termasuk isu telah dikenalpasti berkaitan masyarakat Orang Asli yang memerlukan pindaan sewajarnya. Ini adalah untuk memastikan perlindungan hak serta kemajuan komuniti Orang Asli terus terjamin.

“Antaranya adalah hal berkaitan tanah termasuk tanah adat; hal ehwal kebajikan Orang Asli; pengurusan perkahwinan adat dan tadbir urus kepimpinan tradisi masyarakat Orang Asli,” katanya.

Ujarnya, pihak kementerian juga akan mengadakan sesi libat urus bersama Kerajaan Negeri untuk membincangkan hal berkaitan tanah yang melibatkan Orang Asli.

“Untuk makluman juga, hal pentadbiran tanah adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan. Sehubungan dengan itu, pihak kementerian akan mengadakan sesi libat urus bersama Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Khas Majlis Perundingan Orang Asli (MaPOA) bagi membincangkan hal berkaitan tanah melibatkan Orang Asli.

“Sesi libat urus melalui Mesyuarat Khas MaPOA ini amat penting sebelum isu tanah berkenaan dibincangkan di peringkat Majlis Tanah Negara (MTN) yang akan dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri.

“Selain itu, kementerian ini turut mendapatkan input melalui sesi libat urus dan soal selidik dengan kepimpinan orang asli bersama agensi-agensi yang berkaitan, agar pindaan Akta 134 nanti adalah komprehensif, holistik dengan mengambil kira pelbagai aspek serta pandangan pihak berkepentingan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa hasil daripada kajian tersebut akan membantu pihak kementerian menggubal draf Rang Undang-Undang bagi tujuan pindaan Akta 134.

“Hasil daripada Kajian ini akan membantu pihak Kementerian dalam menggubal draf Rang Undang-Undang untuk tujuan pindaan Akta 134 bagi dibentangkan dalam Dewan Yang Mulia ini kelak.

“Melalui pindaan Akta ini, Kerajaan berharap agar perlindungan hak dan kemajuan komuniti Orang Asli bukan sahaja terus terjamin, bahkan akan lebih diperkukuhkan lagi di masa hadapan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79