BBC Sambut Baik RMK13, Akan Main Peranan Aktif

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Kelab Penyokong Kerajaan Madani (Backbenchers Club – BBC) menyambut baik pembentangan Rancangan Malaysia ke-13 dan akan memainkan peranan aktif untuk memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

Pengerusinya, Datuk Shahar Abdullah menerusi satu kenyataan berkata, RMK13 menjadi manifestasi kepada komitmen Kerajaan dalam merealisasikan aspirasi Ekonomi Madani untuk meningkatkan darjat rakyat dan menstruktur semula ekonomi negara.

“BBC menyambut baik dan menyatakan sokongan penuh terhadap pembentangan RMK13 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’ dengan meletakkan matlamat pembangunan sosioekonomi negara melalui 3 Dimensi iaitu berpendapatan tinggi dan mampan, kehidupan bermutu dan terangkum serta alam sekitar lestari.

“RMK13 jelas sebuah manifestasi komitmen kerajaan dalam merealisasikan aspirasi Ekonomi MADANI untuk meningkatkan darjat rakyat dan menstruktur semula ekonomi negara sebagai kesinambungan kepada usaha yang telah diperkenalkan sejak dua tahun lalu oleh Kerajaan Madani.

“BBC percaya pendekatan Kerajaan Madani yang berasaskan data untuk perangkaan dasar seperti diterapkan dalam RMK13 adalah satu anjakan penting ke arah tadbir urus yang lebih telus dan bertanggungjawab,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Paya Besar menzahirkan keyakinan bahawa Malaysia akan kekal berada di landasan tepat sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“BBC turut menghargai keprihatinan Kerajaan Madani dalam menangani isu ketidaksamarataan antara bandar dan luar bandar serta jaminan bahawa manfaat pembangunan akan dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama mahupun geografi.

“Selaras dengan peranan sebagai penyokong kerajaan di Dewan Rakyat, BBC akan terus memainkan peranan aktif dalam memastikan pelaksanaan RMK13 berjalan lancar, dipantau rapi serta disemak secara berkala agar tidak tersasar daripada matlamat asalnya.

“BBC yakin di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Malaysia kekal berada di landasan yang tepat untuk muncul bukan sahaja sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030 tetapi masyarakat yang mempunyai jiwa insani dan kehidupan yang berkualiti,” katanya lagi.

Pada Khamis media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat.

Ia satu hala tuju yang bakal memacu rancangan pembangunan lima tahun negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.

RMK13 bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’, disusun sebagai pelan pembangunan menyeluruh dengan fokus untuk mengangkat martabat secara adil dan saksama tanpa ada mana-mana kumpulan yang dipinggirkan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79