Azalina Bincang Reformasi Undang-Undang Bersama Ketua Hakim Negara

PUTRAJAYA, 31 Julai – Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said semalam mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Hakim Negara yang baharu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Ujarnya yang juga Ketua Penerangan UMNO, pertemuan tersebut memberi ruang kepada perbincangan mendalam berhubung pelbagai agenda penting termasuk Rang Undang-Undang Insolvensi Rentas Sempadan yang telah diluluskan Dewan Rakyat semalam, serta penganjuran ASEAN Law Forum 2025 yang dijadual berlangsung dari 19 hingga 21 Ogos ini.

“Perbincangan juga turut tertumpu kepada pencapaian dan agenda reformasi undang-undang dan institusi.

“Saya juga menyampaikan penghargaan kepada YAA Ketua Hakim Negara dan badan kehakiman yang senada dengan kerajaan MADANI dalam hal meningkatkan akses kepada keadilan dikalangan rakyat dengan inisiatif Mahkamah bergerak dan juga van bergerak bagi mengambil keterangan saksi kanak-kanak,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Pertemuan turut dihadiri Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, JPM (BHEUU), Datuk Zamri Misman; Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Datuk Zamri Bakar serta pegawai kanan pelbagai agensi berkaitan.

Sebelum beredar, Azalina turut berkesempatan meninjau kemudahan Mahkamah Bergerak bersama Hakim Besar Malaya, Hasnah Mohamed Hashim. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79