UMNO Sipitang Bersedia Hadapi PRN, Persidangan Bukan Sekadar Pertemuan, Tapi Sumpah Perjuangan
KUALA LUMPUR, 30 Julai – Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sipitang telah berlangsung dengan penuh semangat dan iltizam perjuangan yang menghimpun anggota perwakilan selaku jentera parti untuk berjuang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kelak.
Ketuanya, Abdul Rahman Noh menegaskan bahawa persidangan ini bukan sekadar pertemuan biasa, sebaliknya menjadi medan lafaz sumpah setia dan persiapan menghadapi PRN Sabah ke-17 yang disifatkan sebagai pertempuran maruah.
“PRN Sabah kali ini bukan sekadar pertempuran politik – ini pertempuran maruah! Kami bukan pohon reput yang mudah ditumbangkan. Kami akar yang mencengkam bumi. Kami tetap berdiri walau tiada kerusi, tiada jawatan,” tegas Abdul Rahman dalam laman Facebooknya.
Persidangan UMNO Bahagagian Sipitang telah dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada Sabtu yang turut menzahirkan penghargaan atas keteguhan semangat perjuangan UMNO Sipitang walaupun berdepan cabaran tanpa jawatan dan kerusi selama ini.
Abdul Rahman memaklumkan bahawa UMNO Sipitang tidak akan berkompromi lagi dalam hal untuk mendepani PRN Sabah, malah beliau menuntut agar kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi kawasan tersebut diserahkan kepada calon Barisan Nasional (BN) daripada UMNO.
Beliau turut menegaskan bahawa kesetiaan ahli UMNO Sipitang tidak bermakna kelemahan, sebaliknya mencerminkan keteguhan prinsip dan pegangan terhadap perjuangan parti.
“Kami bukan sekadar angka dalam politik. Kami bukan bidak yang digerakkan sesuka hati. Kami adalah pejuang iaitu walau hujan batu atau panas terik, semangat kami tetap membara,” ujarnya.
Abdul Rahman turut menyentuh soal pengorbanan ahli akar umbi yang setia tanpa imbuhan, namun tetap berharap agar pengorbanan itu dihormati dalam keputusan pemilihan calon PRN kelak.
Ujarnya, mesyuarat kali ini menyaksikan solidariti kuat dalam kalangan kepimpinan dan ahli, sekaligus memperkukuh keyakinan bahawa UMNO Sipitang bersiap siaga sebagai barisan hadapan BN dalam menghadapi medan PRN Sabah yang semakin hampir. – UMNO Online