UMNO Amal Keharmonian, Gabung Yang Berpengalaman Dan Tenaga Muda – Faiz Hashim

INDERA MAHKOTA, 30 Julai – UMNO Bahagian Indera Mahkota terus mengekalkan keharmonian dan kekuatan dalaman menerusi gabungan pemimpin berpengalaman dan tenaga muda dalam kepimpinannya.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Muhammad Faiz Hashim berkata, pendekatan inklusif termasuk penglibatan mahasiswa dalam jawatankuasa bahagian berjaya mengelakkan perbalahan dalaman dan mengukuhkan perpaduan ahli.

Beliau menegaskan gabungan ini penting untuk memastikan UMNO kekal relevan dan mampu mendepani cabaran politik semasa dengan lebih mantap.

“UMNO Bahagian Indera Mahkota tiada perbalahan sesama ahli, resepi ini diacukan adalah gabungan orang lama berpengalaman dengan orang muda. Kita melantik empat orang dari kalangan mahasiswa menjadi ahli jawatankuasa bahagian. Inilah resepi UMNO Bahagian mewujudkan keharmonian ini,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Mengulas mengenai usul berkaitan tuntutan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), Faiz menjelaskan bahawa ia merupakan suara akar umbi parti yang harus melalui proses serta hierarki organisasi UMNO.

“Memang terdapat usul dari UMNO Bahagian yang mahukan Parlimen dan DUN. Ini adalah hasrat akar umbi parti. Walau bagaimanapun, usul ini harus diangkat ke peringkat tertinggi dan terpulang kepada pucuk pimpinan untuk memutuskan sama ada diluluskan atau tidak.

“UMNO mempunyai sistem tersendiri daripada peringkat bahagian, negeri dan seterusnya ke pusat. Maka kita serahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan,” katanya lagi.

Pada masa sama kata Faiz, kekalahan parti pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan ke-15 merupakan pengajaran penting apabila keputusan dibuat berasaskan sentimen semata-mata.

“Ahli parti kena bijaksana dan tidak menggunakan sentimen emosi semata-mata. Apabila kita beremosi seperti PRU ke-14 dan 15 lalu dan rasa UMNO ini kuat dan hendak pergi solo, akhirnya kecundang.

“Kita letakkan satu perkara ini dengan rasional serta bijaksana. Dengan gabungan yang ada, Insya-Allah… UMNO dapat memerintah dengan lebih baik, terutamanya di negeri Pahang dan juga di peringkat Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Justeru, beliau turut yakin kerjasama yang terjalin dalam gabungan sedia ada akan memberi kelebihan kepada parti jika terus diperkukuh dan disusun dengan strategi yang tepat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79