Titah Adendum: Presiden UMNO Orang Pertama Fail Afidavit – Wan Rosdy
RAUB, 30 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan insan pertama yang memfailkan afidavit untuk mengesahkan kewujudan Titah Adendum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menteri Besar Pahang merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau merupakan orang kedua yang menandatangani afidavit tersebut meskipun berdepan dengan risiko besar.
“Orang pertama yang memfailkan afidavit untuk Titah Adendum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak bagi hukuman penahanan rumah adalah Presiden kita, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Kedua, barulah saya.
“Beliau dapat tengok Titah Adendum tersebut, saya hanya dimaklumkan oleh seseorang yang sangat berpengaruh. Apakah risiko yang akan dihadapi? Kemungkinan untuk hilang jawatan dan dimasukkan ke dalam penjara.
“Apabila Presiden tandatangan afidavit ini, saya pun tahu bahawa Titah Adendum itu wujud. Sebagai orang UMNO yang kasih, sayang kepada ‘Bosku’ dan institusi Presiden, tanpa berlengah saya pun tandatangan afidavit tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Raub, pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau turut mengucapkan rasa syukur apabila pada akhirnya Titah Adendum tersebut dapat disahkan dan bukan sekadar ‘hear say’.
“Kita jangan takut. Jangan gentar, kita kena berani kerana benar. Alhamdulilah, Peguam Negara (AG) telah mengakui bahawa Titah Adendum tersebut memang wujud. Inilah Presiden kita, orang pertama yang mengesahkan kewujudan titah tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa kewujudan Sekolah Patriotik UMNO adalah untuk melatih pelapis kepimpinan parti agar mempunyai daya tahan terhadap ujian.
“Sebab apa Presiden suruh saya buat Sekolah Patriotik UMNO? Ini kerana kita tidak mahu bakal pewaris kita nanti menjadi seorang pemimpin yang tidak tahan diuji kemudian lompat ke parti lain.
“Ada pemimpin yang kita dukung, sokong tetapi apabila parti menghadapi sedikit ujian dan cabaran, merekalah yang awal-awal sekali melompat ke parti sebelah sana. Jadi, kita tidak mahu pewaris kita dari Sekolah Patriotik UMNO ini menjadi seperti mereka.
“Kita mahu para graduan ini mempunyai daya tahan yang kuat boleh diuji malah susah macam mana pun mereka sanggup pertahankan UMNO. Seperti Presiden UMNO kita yang sanggup menghadapi banyak pertuduhan sebab nak mempertahankan UMNO,” katanya lagi.
Untuk rekod, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah hadir untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Raub.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Shahar Abdullah, Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Shahaniza Shamsuddin dan pemimpin UMNO Bahagian Raub empat peringkat. – UMNO Online