Suara Rakyat Sabah Penentu Masa Depan Negeri – Salleh Said Keruak

KOTA KINABALU, 30 Julai – Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menegaskan bahawa suara rakyat Sabah perlu sentiasa diangkat dan dihormati kerana merekalah penentu sebenar masa depan negeri ini.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan, dalam sistem demokrasi, rakyat adalah “tuan” yang memegang kuasa mutlak untuk menentukan siapa yang layak memimpin, bukan parti politik, pemimpin atau pihak luar.

“Master is here and not there bermaksud kuasa sebenar berada di tangan rakyat. Parti boleh naik dan jatuh, tetapi rakyat tetap kekal. Mereka yang akan menentukan arah tuju negeri,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya.

Salleh turut menyentuh perubahan landskap politik semasa, terutama dengan kemunculan pengundi muda seperti Undi18 yang lebih berani, kritikal dan menilai berdasarkan tindakan serta keikhlasan pemimpin, bukan sekadar retorik.

“Tiada parti boleh menganggap sokongan rakyat sebagai milik kekal. Untuk kekal relevan, kita mesti sentiasa mendengar dan memahami suara rakyat,” tambahnya.

Beliau berkata, inilah semangat perjuangan sebenar yang perlu dipegang oleh semua pemimpin di Sabah – bahawa kuasa bukan milik parti atau elit politik, tetapi milik rakyat.

“Sabahan No 1 – Kita Radu. Rakyat Sabah bukan sekadar penonton. Mereka penentu. Mereka adalah masa depan,” tegas beliau.

Salleh juga menyeru semua pihak agar tidak memandang rendah kekuatan rakyat dan memastikan segala dasar, keputusan dan pelaksanaan di peringkat negeri berteraskan kepada kehendak serta kepentingan rakyat Sabah. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79