Persidangan UMNO Semangat Kebersamaan, Kesatuan Perjuangan Parti – Reezal Merican
KUALA LUMPUR, 30 Julai – Semangat kebersamaan yang dipamerkan oleh para perwakilan UMNO dalam mesyuarat perwakilan mencerminkan kekuatan dan kesatuan parti dalam meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, penyatuan dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh para perwakilan UMNO dari pelbagai bahagian di Pulau Pinang merupakan asas penting dalam memperkukuh parti.
“Saya mewakili Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang hadir bersama UMNO Bahagian Kepala Batas ke Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Bendera yang berlangsung penuh tertib. Syabas dan tahniah kepada Datuk Seri Ahmad Ismail atas kelancaran penganjuran majlis ini,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.
Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera merangkap Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Ismail. Turut hadir ialah pimpinan UMNO negeri termasuk Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said; Ketua UMNO Bahagian Jelutong, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Ketua UMNO Bahagian Bayan Baru, Datuk Ir. Mansor Musa, dan barisan kepimpinan UMNO Bahagian Kepala Batas.
“Semangat kebersamaan ini bukan sekadar simbolik, tetapi ia adalah cerminan sebenar kekuatan akar umbi yang menjadi tunjang perjuangan UMNO. Bersama, kita bangkit memperkukuh parti demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang,” tambah Reezal.
Ujarnya lagi, mesyuarat ini sekali gus membuktikan bahawa kesatuan dalam kalangan ahli dan kepimpinan UMNO tetap utuh dan terus menjadi harapan rakyat. – UMNO Online