Persempadanan Maritim: Kerajaan Sentiasa Bekerjasama Dengan Pemegang Taruh
KUALA LUMPUR, 30 Julai – Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Luar Negeri sentiasa bekerjasama rapat dengan pemegang-pemegang taruh yang berkaitan berhubung dengan perkara persempadanan maritim Malaysia
Menurut beliau usaha ini dilakukan dengan pendekatan, ‘whole of government’ dan penuh komitmen dalam melaksanakan rundingan dengan negara-negara jiran bagi mencari penyelesaian yang dapat dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
“Saya ingin menarik perhatian Dewan yang Mulia kepada rujukan kawasan Ambang Batas Laut atau ‘Ambalat’ yang digunakan oleh pihak Indonesia. Tuntutan Indonesia meliputi sebahagian Laut Sulawesi termasuk Blok ND6 dan ND7.
“Malaysia berpendirian bahawa Blok ND6 dan ND7 merupakan sebahagian dari kawasan kedaulatan Malaysia dan hak kedaulatan negara berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa yang terhasil selepas keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa, atau dengan izin, International Court of Justice (ICJ), pada tahun 2002.
“Oleh yang demikian, rujukan yang lebih tepat kepada kawasan yang berkenaan yang perlu digunakan selaras dengan pendirian Malaysia adalah Laut Sulawesi dan bukannya ‘Ambalat’,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta Menteri Luar Negeri menyatakan apakah Kerajaan Persekutuan bercadang untuk melibatkan Kerajaan Negeri Sabah dalam sebarang rundingan berkaitan isu Ambalat agar kepentingan negeri dapat dipelihara sekaligus memastikan peluang ekonomi dapat dinikmati oleh rakyat Sabah.
Mohamad seterusnya berkata dalam menyelesaikan isu persempadanan maritim Malaysia dan Indonesia, Kerajaan Persekutuan sentiasa bekerjasama rapat dengan Kerajaan Sabah dalam proses rundingan dan perbincangan tersebut.
“Wakil Kerajaan Sabah turut dilibatkan di dalam mesyuarat-mesyuarat berkaitan serta rundingan teknikal persempadanan maritim di antara Malaysia dan Indonesia.
“Kerajaan Persekutuan juga sentiasa mengambil serius pandangan dan pendirian Kerajaan Sabah dalam membuat apa-apa keputusan dalam memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan Malaysia sentiasa terpelihara.
“Perbincangan berkaitan sempadan maritim adalah berlandaskan kepada prinsip perundangan dan teknikal yang dilakukan secara teliti, cermat dan berhemat. Dalam hal ini, kerajaan sentiasa membuat penilaian terperinci dan menyeluruh berhubung sebarang cadangan penyelesaian termasuklah kerjasama ekonomi dalam mencari keputusan yang saling memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” ujarnya.- UMNO Online