Najib Samuri Anjur Pertandingan Teka Bola Sempena Piala Sumbangsih 2025
BATU PAHAT, 30 Julai – Sempena kehangatan aksi pembuka tirai Liga Malaysia, Piala Sumbangsih 2025 antara pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Mohd Najib Samuri, mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan “Teka Bola Piala Sumbangsih” khas buat pengundi di kawasannya.
Dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, beliau seterusnya menambah pertandingan ini merupakan salah satu usaha mendekati masyarakat setempat melalui medium sukan dan teknologi digital, di samping menyemarakkan semangat kesukanan dan kebersamaan dalam kalangan penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani.
“Program ini sebagai inisiatif santai yang inklusif, sekaligus menggalakkan masyarakat pelbagai lapisan kumpulan termasuklah anak muda untuk lebih dekat dengan kepimpinan setempat dan melibatkan diri dalam aktiviti komuniti.
“Semarakkan semangat Parit Yaani… kita raikan sukan bola sepak sebagai pemangkin perpaduan dan semangat kemajuan Johor. Sertai dan berpeluang menang tiket Grandstand JDT vs Selangor!” katanya.
Antara syarat penyertaan yang ditetapkan ialah:
• Memuat turun Aplikasi Najib Samuri.
• Berumur antara 18 hingga 40 tahun.
• Merupakan pengundi berdaftar di DUN Parit Yaani (N21).
• Mengikuti akaun rasmi Instagram dan Facebook Page Najib Samuri.
• Mengisi maklumat dan membuat tekaan keputusan perlawanan melalui Google Form yang disediakan dalam aplikasi tersebut.
• Seorang pemenang yang berjaya meneka keputusan dengan tepat dan memenuhi semua syarat akan dipilih untuk membawa pulang dua tiket Grandstand bagi menyaksikan perlawanan berprestij tersebut.
• Jika terdapat lebih daripada seorang peserta dengan tekaan yang sama tepat, proses cabutan nama akan dibuat bagi menentukan pemenang utama.
• Keputusan pemenang adalah muktamad, dan akan diumumkan melalui platform media sosial rasmi Najib Samuri (NS).
• Juara 11 kali berturut-turut Liga Super iaitu JDT akan berdepan Selangor dalam perlawanan Piala Sumbangsih 2024/25 pada 8 Ogos 2025 di Stadium Sultan Ibrahim sebagai pembuka tirai Liga Malaysia. – UMNO Online