MINDEF Bina Lebih Banyak Rumah, Tingkat Kesejahteraan Anggota Tentera – Khaled

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Kementerian Pertahanan sentiasa peka dan prihatin dengan kebajikan anggota tentera khususnya melibatkan perumahan anggota berkenaan dalam usaha meningkatkan lagi kesejahteraan warga terbabit.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perumahan yang berkualiti untuk anggota ATM dan keluarga merupakan salah satu agenda utama Kementerian Pertahanan, kerana pertahanan negara yang kukuh lahir daripada kehidupan para tentera dan keluarga yang sejahtera serta terpelihara.

Justeru katanya, Kementerian Pertahanan komited dalam menyediakan dan menambah baik Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang selesa dan sejahtera di seluruh negara.

“Berdasarkan Blueprint Perumahan 3.0, MINDEF merancang untuk membina sebanyak 12,733 unit RKAT baharu sehingga tahun 2030, tertakluk kepada kepada keupayaan semasa kewangan kerajaan. Sejak tahun 2022, sebanyak 6 buah Projek Bina Baru RKAT yang melibatkan 2,812 unit baharu di seluruh negara telah siap dibina oleh MINDEF.

“Selain itu, sebanyak 10 buah Projek Bina Baru RKAT di bawah RMK-12 yang melibatkan 3,206 unit baharu di seluruh negara sedang dalam proses pembinaan yang melibatkan  kos 1.002 bilion ringgit dan insyaAllah akan dijangka siap menjelang tahun 2026. Seterusnya, sebanyak lapan buah projek bina baru RKAT yang melibatkan 2,456 unit baharu masih dalam fasa perolehan dan ini melibatkan 1.4 bilion ringgit,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib meminta Menteri Pertahanan menyatakan adakah terdapat sebarang perancangan daripada pihak kementerian untuk menambah baik kemudahan perumahan sedia ada, kebajikan anak-anak anggota serta sokongan pendidikan yang lebih baik terhadap mereka dan apakah status pembinaan perumahan tentera di seluruh negara

Khaled seterusnya menambah di bawah Kerajaan Madani, peruntukan bagi senggaraan RKAT juga terus meningkat dan bagi tahun 2025, MINDEF telah diperuntukkan sebanyak RM426,495,300.00 bagi kerja-kerja penyelenggaraan RKAT, iaitu peningkatan sebanyak 6.62% berbanding RM400,000,000.00 pada tahun 2024 dan RM236,702,211.00 pada tahun 2023.

Tambahnya lagi, bilangan unit RKAT yang telah diselenggara adalah 19,978 unit pada tahun 2023 dan 20,954 unit pada 2024 manakala, bagi pada tahun 2025, MINDEF menyasarkan penyenggaraan sebanyak 11,607 unit RKAT akan dapat diselesaikan termasuklah  MINDEF juga menyasarkan sebanyak 55,622 unit RKAT akan melalui proses senggaraan menjelang tahun 2030.

“Sebagai tanda penghargaan tidak ternilai kepada warga ATM yang setia berbakti demi kedaulatan negara, MINDEF turut menitikberatkan usaha mempertingkatkan kebajikan anak-anak anggota ATM, khususnya dalam pemerkasaan kualiti pendidikan.

“Pelan tindakan pendidikan dilaksanakan melalui pelbagai program sokongan dengan kerjasama Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) bagi mempertingkatkan pencapaian akademik anak-anak anggota ATM. Antaranya adalah:

a) Pertama, Program Simpanan Pendidikan MADANI telah menyumbangkan RM50 ke dalam akaun SSPN seramai 3,775 anak ATM yang memasuki Tahun 1;

b) Kedua, Program Sentuhan Elit SPM menyediakan program kelas tuisyen kepada 658 anak ATM yang bakal menduduki peperiksaan SPM di sekolah dalam kem;

c) Ketiga, Program e-Perkasa SPM menyediakan peranti percuma dan program tuisyen dalam talian, dengan kerjasama Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) kepada 652 calon SPM yang bersekolah di luar kem;

d) Keempat, Program Protege yang menawarkan peluang pekerjaan dan pengalaman kerja kepada graduan dalam kalangan anak-anak anggota dan veteran ATM; dan

e) Kelima, Program Penajaan Pengajian TVET yang menawarkan pembiayaan pengajian peringkat sijil dan diploma di tiga institusi TVET MARA dengan kuota 50 orang kepada anak ATM.

“MINDEF juga memberi perhatian kepada keperluan senggaraan 38 buah Sekolah Dalam Kem dan Alhamdulilah, MINDEF juga menyambut baik peruntukan khas berjumlah RM20 juta yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bagi menaiktaraf infrastruktur Sekolah Dalam Kem,” ujarnya.

Ujar beliau lgi bagi golongan isteri askar pula, MINDEF diperuntukkan RM10 juta untuk melaksanakan Program Ekonomi MADANI sebagai ruang penjanaan pendapatan tambahan yang berasaskan pemindahan ilmu (knowledge transfer) kepada Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) di kem-kem di seluruh negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79