Masa Untuk Bersatu Hati, Rapatkan Barisan Perkukuh UMNO – Fadzli
RAUB, 30 Julai – Sekarang adalah masa untuk bersatu hati dan rapatkan barisan bagi memperteguh perjuangan parti, kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Raub, Fadzli Mohamad Kamal.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong berkata, kekalahan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan 15 yang disebabkan oleh perpecahan perlu dijadikan sebagai iktibar.
“Saya rasa ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sangat ikhlas dan sampai ke hati kita di akar umbi. Beliau berpesan supaya UMNO di segenap peringkat bersatu hati untuk mencapai persepakatan dan mengelakkan perbalahan sesama kita sebagai persiapan menghadapi PRU ke-16.
“Iktibar atau pengajaran daripada ucapan tersebut, Presiden telah nyatakan betapa perpecahan dan perbalahan sesama kita menyebabkan kita tewas sebelum ini,” katanya kepada UMNO Online.
Jelasnya, setiap lapisan kepimpinan sama ada di peringkat pusat mahupun bahagian perlu memainkan peranan sebaiknya dan cuba mengelakkan sebarang persengketaan.
“Jadi, sekarang adalah masa untuk kita bersatu hati, merapatkan barisan. Ini bukan terpakai di Raub sahaja tetapi di seluruh negara. Sekarang, dalam keadaan kita nak berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan PRU ke-16, tiada lagi masa untuk kita bersengketa.
“Jadi, saya amat hargai keikhlasan Presiden dalam ucapan disampaikan yang menyentuh peranan, tanggungjawab dan amanah perlu dipikul di lapisan mana pun kita berada khususnya bermula di peringkat akar umbi, kepimpinan bahagian, cawangan, negeri sehinggalah pusat itu sendiri,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut berpandangan bahawa usul agar kerusi Parlimen Raub dikembalikan kepada UMNO adalah terpulang kepada kebijaksanaan pemimpin untuk berunding dengan parti-parti lain.
“Pada pandangan saya, ia terpulang kepada kebijaksanaan pemimpin kerana yang berunding dengan parti-parti lain khususnya parti komponen adalah kepimpinan di peringkat atasan.
“Jadi, daripada ucapan Presiden tersebut, kita perlu akur atas kebijaksanaan kepimpinan UMNO di peringkat yang tertinggi untuk membawa perkara ini dalam perbincangan mereka.
“Apa pun keputusan yang telah diperakui dan diputuskan oleh kepimpinan tertinggi parti, ahli dan akar umbi perlu akur. Ini kerana kebijaksanaan kepimpinan inilah yang menjamin keutuhan parti kita selama ini,” katanya lagi.
Untuk rekod, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah hadir untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Raub pada Ahad.
Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Shahar Abdullah, Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Shahaniza Shamsuddin dan pemimpin UMNO Bahagian Raub empat peringkat. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman