Malaysia Perkukuh Komitmen Sebagai Pengerusi ASEAN dalam Perkasa Kerjasama Serantau

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Malaysia terus memperkukuh komitmennya sebagai Pengerusi ASEAN 2025 menerusi lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sekretariat ASEAN di Jakarta.

Dalam kunjungan itu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan bersama Setiausaha Agung ASEAN, TYT Dr. Kao Kim Hourn, disertai Timbalan-Timbalan Setiausaha Agung (DSG), para Wakil Tetap ke ASEAN serta Duta Besar Timor-Leste ke ASEAN.

Menurut Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pertemuan ini mengukuhkan lagi komitmen Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dalam memperkasa kerjasama serantau serta memperteguh peranan proaktif dalam organisasi ini.

“Komitmen ini mencerminkan kesungguhan Malaysia untuk memastikan ASEAN kekal sebagai blok serantau yang stabil, bersatu dan berpaksikan kepentingan bersama,” katanya.

Terdahulu, delegasi Malaysia turut menghadiri Rundingan Tahunan Ke-13 Malaysia-Indonesia yang diketuai oleh Perdana Menteri bersama Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto.

“Rundingan Tahunan yang turut dihadiri delegasi menteri-menteri dari kedua negara ini merupakan mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Indonesia yang bertujuan memperkukuhkan lagi Kerjasama Strategik Komprehensif Malaysia-Indonesia.

“Alhamdulillah, pelbagai perkara tertangguh telah dirundingkan, antaranya Isu sempadan maritim dan darat. Turut dibincang, pelaburan rentas sempadan, teknologi digital, dan keterjaminan makanan. Insya-Allah, hubungan serumpun ini akan terus diperkukuh demi manfaat bersama,” katanya lagi.

Perdana Menteri tiba Jakarta pada Isnin bagi menghadiri Rundingan Tahunan Ke-13 bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79