Kurangkan Masalah Dalaman, Kembalikan Kekuatan UMNO/BN

KUALA KRAU, 30 Julai – Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed menyeru ahli dan akar umbi untuk mengurangkan masalah dalaman yang boleh menyebabkan perpecahan.

Ujarnya, UMNO Bahagian Kuala Krau mesti bangkit untuk terus menjadikan bahagian tersebut sebagai kubu kuat UMNO/Barisan Nasional (BN).

“Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (Tokwan) berpesan… UMNO jangan ditipu dua kali. Orang Jengka jangan ditipu dua kali. Parlimen Kuala Krau jangan ditipu dua kali. Kita mesti bangun dan bangkit untuk terus menjadikan bahagian ini sebagai kubu kuat parti.

“Kita bergerak bersama-sama. Kalau kita lihat, terbukti Tokwan selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang boleh menjadi nakhoda dengan begitu solid, bersepadu, bekerjasama, tidak ada perpecahan dan masalah dalaman di antara ketua-ketua bahagian.

“Ikutilah tokoh kita yang boleh mengemudi UMNO Negeri Pahang tanpa ada sebarang masalah dalaman. Kita mahu supaya masalah dalaman ini sifar atau dikurangkan. Kita mahu umpamanya di dalam masjid itu tidak ada surau. Takkanlah dalam masjid ada surau? Takkanlah dalam negeri ada pelbagai nakhoda?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Krau, pada Ahad.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA (YPM) berkata, UMNO Bahagian Kuala Krau optimis untuk mengembalikan kesemua kerusi di bawah parlimen tersebut pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

“Walaupun UMNO Bahagian Kuala Krau ini kehilangan dua kerusi bagi Parlimen Kuala Krau termasuk kerusi DUN Jengka, tetapi kita tidak mengalah. Kita akan terus bangkit untuk memastikan pada PRU ke-16, keempat-empat kerusi ini menjadi milik UMNO/BN.

“Kita dah dengar perbahasan daripada wakil-wakil Dewan Undangan Negeri (DUN). Para pembawa usul berkata, kita tidak boleh hanya bercakap-cakap sahaja dan meninggalkannya di dalam dewan ini serta tidak terjemahkan di luar sana.

“Kita bangunkan cawangan. Kita bangunkan kampung. Kita bangunkan tanah rancangan FELDA… kita mesti dekati orang ramai, pengundi-pengundi kita tanpa mengira bangsa, agama dan had umur. Kalau kita nak menang, buat cara nak menang,” katanya lagi.

Untuk rekod, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah hadir untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Krau pada Ahad.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Shahar Abdullah, Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Shahaniza Shamsuddin dan pemimpin UMNO Bahagian Kuala Krau empat peringkat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79