Kolej Yayasan FELDA Medan Perjuangan Bina Jati Diri Generasi Baharu – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Kolej Yayasan FELDA (KYF) sebagai medan perjuangan membina jati diri dan kemahiran generasi FELDA yang mampu bersaing dalam dunia moden.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata ini kerana dengan lebih 31,000 alumni yang kini menyumbang dalam pelbagai bidang strategik negara, KYF telah membuktikan bahawa pendidikan desa juga mampu melahirkan tokoh masa depan.

“Dari rimba yang diteroka oleh generasi pertama peneroka, kini lahir barisan profesional yang membawa obor harapan komuniti FELDA ke tahap yang lebih tinggi. Kegigihan ibu bapa, kecekalan para pendidik dan kesungguhan para pelajar, semuanya bersatu dalam kisah kejayaan hari ini.

“Justeru, saya menyeru agar para graduan hari ini tidak melupakan akar kejayaan anda. Ilmu yang digenggam hari ini adalah amanah untuk dibawa pulang ke kampung halaman, dan dimanfaatkan kepada masyarakat.

“Bawalah semangat FELDA ke mana jua anda pergi, dan buktikan bahawa legasi peneroka ini akan terus menyinar untuk generasi akan dating,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian menerusi hantaran di Facebook berkongsi kehadirannya pada graduasi KYF dalam Majlis Konvokesyen Kali Ke-26 di MITEC pagi tadi.

Dalam pada itu beliau turut sama berharap graduan untuk menjadi individu yang mampu menyumbang secara positif bukan sahaja kepada komuniti FELDA, tetapi juga kepada pembangunan negara.

“Sekali lagi, sekalung tahniah saya ucapkan buat semua graduan KYF hari ini. Teruskan melangkah dengan ilmu dan jati diri. Jadilah aset berharga kepada FELDA dan negara tercinta,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79