Kerjasama Strategik Johor-Singapura Diperkasa Demi Pembangunan Inklusif, Lestari – MB Johor

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Menteri Besar Johor, Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi menegaskan bahawa kerjasama strategik antara Johor, Malaysia dan Singapura mesti terus diperkukuhkan demi memastikan agenda pembangunan yang inklusif, adil dan lestari dapat direalisasikan, agar tiada sesiapa pun yang tertinggal daripada arus kemajuan.

Beliau berkata demikian sempena hari pertama lawatan rasminya ke Singapura sebagai penerima ke-82 Lee Kuan Yew Exchange Fellowship (LKYEF), hari ini.

Maklumnya, bersama delegasi Kerajaan Johor telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Singapura merangkap Menteri Perdagangan dan Industri, H.E. Mr Gan Kim Yong.

“Perbincangan kami bukan sekadar menyentuh pelaburan dan perdagangan, tetapi turut memberi perhatian kepada isu-isu rakyat seperti kos sara hidup, keperluan infrastruktur asas serta sistem pengangkutan yang cekap dan inklusif,” kata Onn Hafiz.

Beliau turut berkongsi perkembangan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang kini dalam fasa pembangunan dengan sokongan perunding lantikan Kerajaan Malaysia. Pelan ini antara lain mempertimbangkan penubuhan Free Trade Zone (FTZ), kemudahan pergerakan barangan dan bakat rentas sempadan, serta cadangan RTS kedua di barat Johor.

Ujarnya, sehingga kini, lebih 70 syarikat termasuk dari Singapura, China, Jerman, UK dan Belanda menunjukkan minat untuk melabur di Johor melalui Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J), dengan lima syarikat Singapura sahaja menyumbang pelaburan bernilai RM1.34 bilion, dan tambahan minat sekitar RM78 juta untuk fasa seterusnya.

“Saya nyatakan komitmen Johor untuk melaksanakan dasar-dasar yang progresif dan berpaksikan rakyat.

“Kerjasama rentas sempadan ini bukan hanya untuk pertumbuhan ekonomi, tetapi juga untuk membina masa depan yang seimbang dan mampan bagi semua lapisan masyarakat.”

Ujarnya lagi, lawatan ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri Johor untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Singapura sebagai rakan strategik serantau yang penting. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79