Ibu Nurul Amal Meninggal Dunia, UMNO Rakam Takziah

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama kepimpinan serta ahli-ahli UMNO mengucapkan takziah kepada keluarga Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi atas pemergian ibunya semalam.

Ahmad Zahid turut merakamkan ucapan takziah dalam hantaran di laman Facebooknya

“Salam takziah saya ucapkan kepada Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi (Along) atas pemergian ibunda tercinta yang telah kembali ke rahmatullah pada malam tadi.

“Sesungguhnya, pemergian seorang ibu adalah satu kehilangan yang tiada gantinya. Saya sempat menziarahi Allahyarhamah dan mengiringi perjalanan terakhirnya di Kota Damansara malam tadi. Di saat ini, doa seluruh keluarga besar UMNO bersamamu, Along.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah, mengampuni segala dosanya dan menempatkannya dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman,” katanya.

Beliau juga mendoakan buat Along dan keluarga agar terus tabah.

“Semoga terus tabah dan kuat dalam menghadapi ujian yang amat berat ini. Teruskan berdoa, kerana kasih dan doa seorang anak yang tidak pernah putus akan terus mengiringi roh ibunda dalam doa dan amal jariah yang berpanjangan. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79