Youzaimi Turun Padang Santuni Rakyat Mersing, Teruskan Aplikasi Ziarah Kasih
KUALA LUMPUR, 29 Julai – Ketua UMNO Bahagian Mersing, Mohd Youzaimi Yusof terus menyantuni masyarakat setempat melalui program-program berbentuk kemasyarakatan serta ziarah kasih yang dilakukan.
Menerusi perkongsian di Facebook, beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berbesar hati menziarahi Barber Abdul di Felda Tenggaroh Timor 01 yang menghidap kanser hati.
“Kos perubatan yang diperlukan sememangnya sangat tinggi. Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) telah membantu bagi menampung Kos Perubatan Pak Cik Barber ini sebanyak RM30,000.
“Saya difahamkan beliau masih memerlukan lagi bantuan tambahan untuk pihak hospital membuat prosedur kemoterapi.
“Kami semua mendoakan agar pak cik Barber diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusannya. Aamiin. Insya-Allah. Terima Kasih kepada YB Fared dan juga pihak MAIJ atas bantuan yang berterusan ini,” katanya.
Sementara itu menerusi perkongsian terdahulu, beliau turut sama secara santai bersama beberapa wakil nelayan pantai.
Pada pertemuan tersebut mereka menyatakan berhasrat untuk memohon bantuan bagi menampung memasang meter air di tempat mereka semua berlabuh.
“Setelah itu, saya juga sempat mengajak YB Mohd Fared Mohd Khalid bersantai sebentar bersama-sama beberapa orang Wakil Nelayan Pantai yang berhasrat untuk memohon bantuan bagi menampung memasang meter air di tempat mereka semua berlabuh.
“Air bersih daripada paip ini sememangnya keperluan untuk mereka semua bawa ke laut, membersihkan diri setelah sampai di tempat berlabuh dan bagi kegunaan mengambil wuduk dan sebagainya. Insya-Allah, kita sama-sama doakan ianya dipermudahkan Allah,” ujar beliau. – UMNO Online