UMNO Sentiasa Sedia Lahirkan Pemimpin Muda, Fokus Hadapi PRU – Jeffri

TANJONG, 29 Julai – Ketua UMNO Bahagian Tanjong, Datuk Jeffri Salim menegaskan bahawa UMNO sentiasa bersedia melahirkan barisan pemimpin pelapis, khususnya dari kalangan generasi muda, dalam usaha memastikan kelangsungan perjuangan parti.

Menurut beliau, mesyuarat UMNO yang berlangsung di seluruh negara ketika ini bukan sekadar persidangan biasa, sebaliknya menjadi medan penting untuk memperkukuh struktur organisasi dan mengatur strategi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

“UMNO tidak pernah ketandusan pemimpin muda. Saya sendiri berasal daripada kilang Pemuda. Kita sentiasa ada pengganti kepada mereka yang telah pergi. Apa yang penting, parti perlu terus memberi ruang kepada mereka yang ingin menyumbang dalam perjuangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online selepas Majlis Perasmian Serentak Empat Peringkat Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong, di sini.

Majlis perasmian disempurnakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafi. Turut serta pimpinan serta perwakilan bahagian yang lain.

Selanjutnya, Jeffri turut mengulas kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, yang menurutnya adalah hasil daripada keperluan membentuk kestabilan negara selepas tiada satu pun parti memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan secara bersendirian pasca PRU-15.

“Nak bentuk kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya 112 kerusi. Barisan Nasional (BN) hanya memperoleh 30 kerusi. Maka apabila tiada parti yang mencukupi, terbentuklah Kerajaan Perpaduan hari ini,” jelas beliau.

Tambahnya, penyertaan UMNO dalam kerajaan bukan satu kelemahan atau pengorbanan yang sia-sia, sebaliknya peluang untuk parti kembali membuktikan kemampuan dalam menyumbang kepada pembangunan negara.

“Jangan kita terbeli dengan dakyah dan tohmahan yang dilemparkan kepada UMNO hanya kerana berada dalam kerajaan. Hakikatnya, kita kini mempunyai sedikit kuasa untuk berkhidmat kepada rakyat,” ujarnya.

Sehubungan itu, Jeffri menyeru agar seluruh kepimpinan dan akar umbi UMNO bersatu dalam merangka strategi yang benar-benar berkesan untuk menghadapi PRU-16, demi memastikan UMNO kembali diyakini dan diberi mandat oleh rakyat.

“Kita perlu strategi yang tepat, jelas dan menyeluruh. Semoga kali ini, apa yang dirancang benar-benar berhasil,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79