UMNO Sabah Perlu Kuasai Politik Digital, Medan Baharu Bina Kepercayaan Rakyat

KOTA KINABALU, 29 Julai – Setiausaha Pemuda UMNO Sabah merangkap Ketua Pemuda UMNO Sepanggar, Arfanshah Abdul Ghafar mengingatkan bahawa UMNO Sabah akan ketinggalan jauh jika gagal memanfaatkan platform digital dalam mendekati anak muda dan menguasai naratif politik semasa.

Dalam hal ini, beliau menyambut baik saranan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang menekankan peri pentingnya UMNO mengadaptasi pendekatan baharu dalam dunia digital, terutama dalam menghubungkan parti dengan generasi muda.

“Politik hari ini tidak lagi ditentukan di dewan besar atau majlis rasmi, tetapi di ruang kecil skrin telefon bimbit. Siapa yang mampu menguasai naratif dalam 30 saat di TikTok atau satu ciapan di X yang menggerakkan emosi, dialah yang membentuk pemikiran politik masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Arfanshah menegaskan bahawa UMNO tidak boleh terus bergantung kepada pendekatan lama seperti kenyataan akhbar dan acara rasmi semata-mata kerana landskap politik kini menuntut kehadiran yang hidup dan tulen di platform media sosial.

“Politik generasi muda bukan menolak institusi, tetapi mereka menolak politik yang membosankan, penuh klise dan tidak tulus. Jika kita gagal menyelami realiti mereka, kita sedang bercakap kepada dinding.”

Beliau menekankan bahawa anak muda Sabah tidak menunggu janji lima tahun sekali, sebaliknya berdepan cabaran harian seperti tekanan ekonomi, peluang pendidikan yang tidak menjamin masa depan, kesukaran mendapatkan pekerjaan dan isu tanah yang semakin rumit.

Menurutnya, UMNO perlu lebih peka dan bersedia untuk berubah bukan sekadar pada wajah, tetapi juga pada sikap dan cara fikir kerana politik digital bukan hanya saluran komunikasi, tetapi medan membina semula kepercayaan rakyat terhadap institusi politik.

“Cukuplah menjadikan ‘anak muda’ sebagai ucapan klise tanpa makna. Kini masanya kita benar-benar menjadi sebahagian daripada percakapan dan keresahan mereka,” tegas beliau.

Sebagai langkah ke hadapan, ujarnya, Pemuda UMNO Sabah akan memulakan gerakan perubahan dari bawah dengan melahirkan penggerak digital yang memahami denyut nadi rakyat serta membawa suara mereka dengan lebih berani dan terbuka.

“Jika kita tiada di media sosial, kita bukan sedang berpolitik. Kita hanya sedang bercakap sesama sendiri,” ujar Arfanshah dengan peringatan tegas tentang keperluan UMNO Sabah menyesuaikan diri atau berdepan risiko menjadi tidak relevan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79