UMNO Beaufort Komited Tangani Cabaran, Perkukuh Jentera Dan Bela Nasib Rakyat
BEAUFORT, 29 Julai – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat menegaskan bahawa UMNO kini berada dalam fasa pemulihan dan memerlukan usaha berterusan daripada seluruh ahli untuk meraih semula kepercayaan rakyat.
Beliau berkata, pelbagai cabaran sedang dihadapi parti di peringkat nasional dan negeri, namun semangat perjuangan tidak harus luntur malah perlu terus diperkukuh dari semasa ke semasa.
“Kita perlu mengakui kelemahan secara jujur, tetapi pada masa yang sama harus memberi tumpuan kepada proses pemulihan yang sedang berlaku dalam UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena persidangan UMNO Bahagian terbabit pada Sabtu yang disempurnakan perasmiannya oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani.
Mengulas mengenai kedudukan UMNO di Sabah khususnya di Beaufort, Awang Aslee menekankan kepentingan memperluas peranan parti sebagai pembela rakyat luar bandar.
Katanya, UMNO harus tampil sebagai penyelesai masalah rakyat, terutamanya dalam memperjuangkan isu-isu tempatan.
Dalam hal ini beliau menyeru agar jentera parti di peringkat cawangan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) terus diperkukuh demi memastikan kelangsungan pengaruh dan perkhidmatan parti kepada rakyat.
Beliau turut mengingatkan semua jentera parti agar bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Kita perlu turun menyantuni rakyat, mendengar masalah mereka dan hadir dengan penyelesaian. Penekanan juga harus diberi kepada daftar pemilih baharu dan pengundi muda, terutamanya golongan Undi18,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menyentuh pelbagai isu tempatan yang masih membelenggu rakyat di Beaufort seperti infrastruktur luar bandar meliputi jalan, bekalan air bersih dan elektrik, peluang pekerjaan untuk belia, serta akses pendidikan dan kesihatan.
“Isu tanah adat atau NCR juga perlu diberi perhatian sekiranya berkaitan. Kita mesti tampil dengan cadangan penyelesaian atau mendesak kerajaan negeri dan persekutuan untuk bertindak,” tambahnya.
Datuk Awang Aslee menegaskan bahawa UMNO Beaufort kekal komited menjadi suara rakyat dan akan terus memperjuangkan hak serta kepentingan mereka dalam apa jua keadaan. – UMNO Online