Hari Koperasi Negara 2025 Melaka Luar Biasa, Bukti Sokongan Rakyat – Rais Yasin
AYER KEROH, 29 Julai – Sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) 2025 anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melabuhkan tirainya Ahad lalu dengan majlis penutupan yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.
Menurut Exco Kanan Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin, pemilihan Melaka sebagai tuan rumah telah membuktikan keupayaan negeri ini dalam menganjurkan acara berskala besar, apabila lebih 35,000 pengunjung hadir sepanjang penganjuran.
“Ini membuktikan sambutan luar biasa masyarakat terhadap gerakan koperasi yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan komuniti dan ekonomi negara,” katanya kepada UMNO-Online.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Ewon Benedick; Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Haji Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, YB Datuk Azhar Haji Arshad; dan EXCO Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Tuan Allex Seah, bersama barisan EXCO, Timbalan EXCO serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Bertemakan “Koperasi Memperkasa Komuniti, Membina Negara Madani”, HKN 2025 memberi penekanan kepada peranan koperasi dalam memperkukuh ekonomi rakyat menerusi pelbagai peluang strategik.
Jelas Rais lagi, Kerajaan Negeri Melaka komited memperkukuh ekosistem koperasi dan memberi fokus kepada bidang berimpak tinggi seperti ekonomi digital dan teknologi hijau.
“Dengan sokongan berterusan daripada Kerajaan Persekutuan, saya yakin koperasi mampu menjadi pemacu utama pembangunan ekonomi rakyat secara menyeluruh,” katanya.
Hari Koperasi Negara merupakan platform penting bagi memperkenalkan kejayaan koperasi serta merangsang penglibatan rakyat dalam sektor ini sebagai ejen transformasi sosioekonomi negara. – UMNO Online