RUU Warga Emas Pastikan Kebajikan Terpelihara – Noraini Ahmad
KUALA LUMPUR, 29 Julai – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang merangka satu Rang Undang-Undang (RUU) baharu khusus bagi melindungi hak dan kebajikan warga emas secara lebih menyeluruh dan sistematik.
Timbalannya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, RUU Warga Emas yang sedang digubal itu berteraskan prinsip hak asasi manusia serta bersifat holistik, bagi memastikan warga emas tidak hanya dijaga dari aspek kebajikan harian, tetapi juga diiktiraf secara adil dalam struktur perundangan negara.
“KPWKM berpandangan bahawa warga emas sewajarnya dilindungi daripada pengabaian dan penderaan, terutamanya dalam lingkungan keluarga. Oleh itu, satu perundangan khusus amat penting bagi memberi perlindungan yang lebih jelas dan tegas kepada golongan ini.
“RUU yang sedang digubal ini adalah berteraskan hak asasi manusia dan bersifat holistik bagi memastikan warga emas tidak hanya dipelihara dari segi kebajikan seharian, tetapi juga diberi hak yang setara dalam struktur perundangan negara.
“Terdapat beberapa peruntukan undang-undang sedia ada yang boleh digunakan untuk melindungi warga emas. Antaranya ialah Kanun Keseksaan [Akta 574] yang memperuntukkan hukuman terhadap individu yang menyebabkan kecederaan, penderaan fizikal atau emosi, termasuk dalam kalangan ahli keluarga,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan langkah dan usaha Kementerian untuk memperkenalkan undang-undang yang lebih menyeluruh bagi melindungi warga emas daripada pengabaian dan penderaan dalam kalangan ahli keluarga.
Tambah Ahli Parlimen Parit Sulong, beberapa peruntukan undang-undang sedia ada boleh digunakan bagi melindungi warga emas daripada penderaan terutamanya dalam konteks kekeluargaan.
“Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 [Akta 521] memberi perlindungan dalam kes penderaan yang berlaku dalam konteks kekeluargaan termasuk jika mangsa merupakan warga emas yang tinggal bersama anggota keluarga yang lain.
“Akta Orang Kurang Upaya 2008 [Akta 685] juga boleh digunakan bagi warga emas yang termasuk dalam kategori kurang upaya mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan, perlindungan dan kebajikan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia menambah langkah mewujudkan satu perundangan khas warga emas dilihat sebagai usaha bagi melindungi hak serta kebajikan warga tersebut.
“Langkah dan usaha KPWKM bagi mewujudkan satu perundangan khusus untuk warga emas, serta peruntukan perundangan sedia ada, dilihat dapat memberi perlindungan terhadap golongan ini secara menyeluruh dan berkesan selari dengan perubahan struktur demografi negara,” jelasnya. – UMNO Online