RUU Insolvensi Rentas Sempadan Perkukuh Kerjasama Antarabangsa – Azalina

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Rang Undang-Undang Insolvensi Rentas Sempadan 2025 bertujuan untuk mewujudkan suatu mekanisme berkesan bagi pengurusan kes-kes insolvensi rentas sempadan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang menjelaskan prosiding insolvensi merupakan proses undang-undang yang dimulakan oleh pemiutang atau pihak yang berkepentingan secara kolektif terhadap penghutang, yang menghadapi tekanan kewangan (financial distress) dan tidak berkemampuan untuk menyelesaikan tanggungjawab kewangannya.

“RUU Insolvensi Rentas Sempadan 2025 ini berpandukan empat prinsip utama sebagaimana digariskan dalam, UNCITRAL Model Law on Cross Border Insolvency, iaitu akses langsung wakil asing ke mahkamah tempatan, pengiktirafan prosiding insolvensi asing, pemberian relief sewajarnya, dan prinsip kerjasama serta koordinasi antara mahkamah tempatan dan mahkamah asing.

“Insolvensi rentas sempadan, dalam konteks syarikat korporat, merujuk kepada prosiding insolvensi yang dibawa terhadap syarikat korporat yang mengalami krisis kewangan dan tidak berkemampuan untuk membayar hutangnya dan ia mempunyai pemiutang dan aset di lebih daripada satu negara.

“Aset syarikat dan bilangan pemiutang yang berada di negara negara lain boleh menyebabkan prosiding-prosiding insolvensi dimulakan terhadap syarikat yang sama dalam pelbagai bidang kuasa asing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang-Undang Insolvensi Rentas Sempadan 2025, di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia itu, RUU ini digubal bagi mewujudkan mekanisme berkesan dalam pengurusan kes insolvensi rentas sempadan.

“RUU ini menggalakkan kerjasama rasmi antara mahkamah dan pihak berkuasa pentadbiran insolvensi di Malaysia dan negara asing, yang sebelum ini hanya bergantung kepada ‘prinsip comity’.

“Ia menyediakan kepastian undang-undang kepada pelabur dan pihak berkepentingan dengan menetapkan prosedur jelas berkaitan pengiktirafan prosiding asing, akses mahkamah dan pemberian relief. Memastikan pentadbiran yang adil dan cekap serta melindungi hak semua pihak termasuk pemiutang asing.

“Membolehkan nilai harta penghutang dilindungi dan dioptimumkan melalui mekanisme seperti interim relief dan menyokong usaha penyelamatan perniagaan yang masih berdaya maju, seiring dengan pindaan terkini kepada Akta Syarikat 2016, seterusnya melindungi pelaburan dan pekerjaan rakyat,” katanya lagi.

Jelasnya, insolvensi rentas sempadan bagi korporat di Malaysia tidak mempunyai kerangka kerja undang-undang yang jelas.

“Ia dilaksanakan berdasarkan amalan mahkamah untuk mengiktiraf keputusan atau prosiding mahkamah asing atas dasar persefahaman ‘doctrine of comity’ dan atas jalinan kerjasama dengan memakai prinsip salingan ‘reciprocity’.

“Insolvensi rentas sempadan juga dilaksanakan melalui ‘The Protocol on Court to court Communication and Cooperation’. Namun, setakat ini ia hanya melibatkan Mahkamah Malaysia dan Mahkamah Singapura sahaja.”

Jelasnya lagi, ketiadaan kerangka kerja perundangan yang kukuh menyebabkan kelengahan dalam pelaksanaan mekanisme penyelamat korporat atau prosiding penggulungan syarikat.

“Aset syarikat yang terlibat turut berisiko untuk disembunyikan atau dipindah milik kepada pihak yang tidak sepatutnya. Perkara ini akan menjejaskan pengumpulan dan penghasilan aset yang optimum bagi manfaat pemiutang-pemiutang, penghutang dan pihak yang berkepentingan.

“Kesannya, keyakinan pelabur asing akan terjejas dan sekaligus menjadi halangan kepada usaha pengukuhan perdagangan Malaysia di persada antarabangsa,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79