PDRM, SKMM Laksana Op Pedo Bersepadu, Banteras Eksploitasi Seksual Kanak-Kanak – Shamsul Anuar
KUALA LUMPUR, 29 Julai – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius isu pengesanan lebih 100,000 alamat Protokol Internet (IP) dari Malaysia yang mengakses laman web berkaitan pornografi kanak-kanak sepanjang tahun 2024.
Timbalannya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, tindakan tegas dan menyeluruh telah dan sedang diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, tindakan tersebut dengan kerjasama agensi berkaitan bagi membanteras jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian termasuk kes-kes yang melibatkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak Child Sexual Abuse Material (CSAM) secara dalam talian.
“PDRM dengan kerjasama agensi lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) melaksanakan operasi bersepadu melalui Op Pedo Bersepadu PDRM dan SKMM untuk melumpuhkan kegiatan ini.
“Seramai 13 individu telah ditangkap dan didakwa di mahkamah di bawah seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
“Pelaksanaan operasi bersepadu di peringkat antarabangsa yang melibatkan enam (6) buah negara iaitu Malaysia, Singapura, Thailand, Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun melalui ‘Operation Cyber Guardian’ yang membawa kepada tangkapan ke atas empat individu dan di dakwa di bawah seksyen yang sama,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliu menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan usaha-usaha yang telah dilaksanakan susulan pengesanan lebih 100,000 alamat IP dari Malaysia telah mengakses laman web pornografi kanak-kanak bagi tahun 2024 dan apakah terdapat penangkapan serta pendakwaan yang telah dibuat hasil dari pengesanan tersebut.
Mengulas lanjut, Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong menjelaskan usaha ini dilaksanakan secara berterusan dalam memastikan kandungan sedemikan tidak dapat diakses oleh masyarakat khususnya golongan muda.
“PDRM bekerjasama rapat dengan SKMM untuk menyekat laman web yang memaparkan kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak. Sehingga kini, ratusan laman web yang dikenal pasti telah disekat dan langkah penyekatan dijalankan dijalankan secara berterusan.
“PDRM turut bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang global dengan menganggotai Violent Crime against Children International Task Force (VCACITF) yang diterajui oleh Federal Bureau of Investigation (FBI) dengan memberi tumpuan kepada usaha memerangi eksploitasi seksual dan pemerdagangan kanak-kanak secara dalam talian,” ujarnya. – UMNO Online