Majlis Sosial Negara Serius Tangani Jenayah Seksual Kanak-kanak – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) memandang serius peningkatan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Beliau yang juga Pengerusi MSN berkata ini kerana kes membabitkan kanak-kanak melonjak daripada 2,541 kes pada tahun 2020 kepada 3,892 kes pada tahun 2024, peningkatan sebanyak 53.2 peratus.

“Jumlah mangsa juga meningkat daripada 2,561 orang kepada 3,988 orang, iaitu peningkatan sebanyak 55.7 peratus dalam tempoh yang sama,” katanya menerusi satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) Bilangan 2 Tahun 2025.

Menurut beliau perkembangan teknologi dan revolusi industri telah memperlihatkan modus operandi jenayah yang semakin canggih, termasuk penggunaan teknologi deepfake dan pencurian identiti digital.

Justeru itu katanya kerajaan akan melaksanakan pendekatan bersepadu melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi menangani isu ini secara menyeluruh, tegas dan berkesan.

“Ini termasuklah penganjuran Seminar Perlindungan Kanak-Kanak: Menangani Ancaman Siber dan Jenayah Seksual pada bulan November nanti,” ujar beliau.

Ahmad Zahid dalam pada itu memaklumkan mesyuarat hari ini telah meneliti pelaksanaan Dasar Sosial Negara 2030 (DSN 2030) dan pembangunan Pelan Tindakan 2026–2030.

Katanya Pelan Tindakan DSN 2026 -2030 kini di fasa akhir dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Oktober 2025.

“Majlis turut meneliti isu gelandangan yang mengalami gangguan mental tetapi terlepas daripada intervensi rawatan akibat ketiadaan penempatan khas. Majlis menyokong inisiatif KKM untuk menubuhkan taskforce bagi membina rumah jagaan kejururawatan psikiatri,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79