Kepimpinan Tokwan Sumbang Kepesatan Pembangunan Negeri – Abd Aziz

RAUB, 29 Julai – Kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (Tokwan) dilihat telah menyumbang kepada kepesatan pembangunan Negeri Pahang dari segi ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Raub, Datuk Abd Aziz Mat Kiram berkata, perkara tersebut dapat dilihat daripada perkembangan ekonomi dan pelbagai inisiatif yang telah ditawarkan kepada rakyat.

“Di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail… pada peringkat awalnya beliau menyelesaikan masalah-masalah pembangunan dan bawa kemajuan masuk di Negeri Pahang.

“Sekarang ini kita boleh tengok dari segi ekonominya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) naik, kutipan hasil naik, tiada hutang dan bermacam-macam lagi (inisiatif) sehingga hari ini. Kita di Pahang ini dah jadi macam hab pendidikan.

“…sekolah-sekolah, rumah generasi kedua (peneroka FELDA) dan sebagainya. Inilah dia ‘Pahang 1st’. Saya nampak dari segi kepimpinan Tokwan memang banyak menyumbang dan membantu kepada pembangunan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Raub, pada Ahad.

Tegasnya, para pendukung parti perlu terus memberi sumbangan kepada kepimpinan di Negeri Pahang agar ia sedikit sebanyak dapat membantu kekuatan UMNO khususnya.

”Ketika Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii datang merasmikan mesyuarat perwakilan sayap tempoh hari, beliau turut mengakui perkara tersebut.

“Untuk pengetahuan, Tokwan bukan nak kena jaga Pahang sahaja. Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu kita tak kuat macam dulu.

“Pahang ini banyak membantu untuk menguatkan kedudukan UMNO di seluruh negara. Jadi, kita di Pahang perlu terus memberi sumbangan yang padu kepada kepimpinan negeri agar UMNO boleh dominan semula,” katanya lagi.

Untuk rekod, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah hadir untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Raub.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Shahar Abdullah, Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Shahaniza Shamsuddin dan pemimpin UMNO Bahagian Raub empat peringkat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79