Kelancaran Persidangan UMNO Cerminan Semangat Akar Umbi, Isu ‘Bossku’ Tak Dilupakan
KUALA LUMPUR, 29 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin melihat persidangan UMNO peringkat bahagian di seluruh negara yang berjalan dalam suasana yang baik dan penuh semangat, membuktikan bahawa UMNO kini kembali berada di landasan perjuangan yang tersendiri.
Menurut beliau, meskipun parti pernah mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan pelbagai cabaran besar selepas itu, ahli UMNO di semua peringkat terus kekal istiqamah dan teguh dalam meneruskan perjuangan.
“Mesyuarat yang sedang berlangsung bukan sahaja menyatukan kembali kekuatan akar umbi, malah kehadiran pimpinan utama parti termasuk barisan Ahli Majlis Kerja Tertinggi serta pimpinan pelbagai peringkat lain memberikan suntikan semangat yang sangat diperlukan oleh ahli-ahli di peringkat bahagian dan cawangan,” katanya kepada UMNO Online.
Dalam perkembangan berkaitan, Sharkar seterusnya menambah isu membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, (Bossku) turut menjadi antara topik utama yang dibincangkan dalam mesyuarat-mesyuarat bahagian, memperlihatkan keprihatinan ahli terhadap mantan Presiden UMNO.
“Selain itu platform mesyuarat berkenaan rata-rata dimanfaatkan sebaiknya oleh perwakilan untuk sama-sama membina kembali kekuatan dalaman parti dan merangka strategi berkesan ke arah mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO sebagai parti utama yang memperjuangkan kepentingan Melayu dan agama Islam.
“Inilah masanya untuk setiap ahli UMNO bergerak bersama dengan satu tekad yang jelas menyusun langkah, memperkukuh organisasi dan memenangi kembali kepercayaan rakyat,” katanya.
Mesyuarat peringkat bahagian UMNO yang berlangsung di seluruh negara berakhir semalam, namun terdapat beberapa lagi bahagian yang masin belum menyelesaikan mesyuarat masing-masing.
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebelum ini menetapkan tarikh untuk mengadakan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 9 Jun hingga 27 Julai 2025 dan Perhimpunan Agung UMNO pada 26 hingga 29 November. – UMNO Online