JPEX 2025 Catat Kejayaan Luar Biasa, Bukti Dasar Perumahan Johor Diterima Rakyat
JOHOR BAHRU, 29 Julai – Penganjuran Ekspo Hartanah Johor (JPEX) 2025 yang berlangsung selama tiga hari di Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall baru-baru ini telah mencatat kejayaan luar biasa, membuktikan dasar perumahan Kerajaan Negeri Johor diyakini dan diterima rakyat.
Menurut Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, penganjuran JPEX tahun ini menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang menekankan kebajikan rakyat sebagai keutamaan, selain menyahut arahan tegas Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi agar pelaksanaan perumahan rakyat dilakukan dengan pantas, telus dan berimpak tinggi.
“JPEX 2025 bukan sekadar pameran hartanah, tetapi medan reformasi perumahan rakyat dan pemerkasaan ekonomi marhaen. Ia bukti kukuh bahawa dasar MAJU JOHOR dibina atas data, fakta dan kepercayaan rakyat.
“Insya-Allah, kita akan teruskan usaha ini sebagai mercu tanda komitmen Johor untuk menyediakan rumah berkualiti kepada rakyat,” tambah Mohd Jafni sambil merakamkan penghargaan kepada semua agensi, pemaju, institusi kewangan, penjawat awam dan rakyat Johor yang menjayakan JPEX 2025.
Ujarnya, dengan pencapaian ini, JPEX 2025 mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu inisiatif paling berjaya dalam sejarah pembangunan perumahan negeri Johor.
Antara pencapaian utama JPEX 2025 ialah:
1. Transaksi Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) mencatat jumlah keseluruhan RM173.09 juta, membuktikan permintaan tinggi terhadap rumah mampu milik berkualiti.
2. Peniaga tempatan berjaya menjana pendapatan RM36,778, mencerminkan keberkesanan pendekatan inklusif JPEX dalam menyokong ekonomi kecil.
3. Transaksi pasaran bebas (subsale & hartanah terbuka) mencecah RM454.37 juta, menjadikan JPEX platform menyeluruh kepada semua segmen pembeli.
4. Permohonan Rumah Prihatin Johor (RPJ) meningkat kepada 332 permohonan, menunjukkan sambutan hangat terhadap inisiatif rumah percuma ini.
5. Permohonan RMMJ melonjak kepada 5,103 permohonan baharu dalam masa tiga hari, jauh melebihi sasaran biasa.
6. Transaksi Bumiputera mencatat jumlah RM249.81 juta, satu pencapaian besar dalam memperkasa pemilikan aset dalam kalangan rakyat tempatan.
7. Pendaftaran baharu eRumah Johor meningkat kepada 2,584 akaun, hasil inisiatif digitalisasi sistem permohonan perumahan.
8. Jumlah kehadiran pengunjung mencecah 180,324 orang, menjadikan JPEX 2025 sebagai edisi paling meriah dan berjaya setakat ini.
9. Transaksi bank sepanjang JPEX berjumlah RM258.62 juta, menggambarkan keyakinan institusi kewangan terhadap ekosistem hartanah Johor. – UMNO Online