Dr Akmal Tegur Politik Sempit, Seru Pemimpin Amal Politik Matang Dan Beradab

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berpandangan pemimpin politik perlu matang dalam melemparkan kritikan kepada pihak yang mempunyai pandangan berbeza.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau juga mengkritik gaya politik sempit yang bersifat perpecahan dan emosi melampau kerana ia hanya akan menyebabkan rakyat muak dan hilang kepercayaan terhadap ahli politik.

“Kalau kita tidak mampu buat kebaikan, jangan halang orang lain untuk buat kebaikan. Rakyat mahukan politik matang yang membina, bukan dengan politik sempit yang merendahkan akal fikiran.

“Jika orang politik masih lagi dengan gaya politik yang sempit, jangan marah rakyat jika mereka benci kepada orang politik!

“Saya bukan walanon ataupun walaun dan tidak berminat nak jadi seperti itu, saya hanya menyatakan apa yang ada di dalam hati kerana jangan kita menjadi fitnah kepada Islam,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dr Akmal dalam pada itu menambah perbezaan pandangan politik adalah lumrah dalam demokrasi namun, Islam menuntut agar adab dan akhlak tetap dijaga, lebih-lebih lagi sesama umat Islam.

Beliau dalam pada itu turut menyeru semua pihak untuk bersikap rasional dengan menggunakan fakta dan hujah yang berwibawa bukan dengan celaan dan penghinaan.

“Ada yang membaca doa qunut nazilah untuk kehancuran beliau walaupun sesama agama. Ada yang menyamakan beliau dengan monyet dan pemimpin negara asing lain seperti binatang sedangkan perbincangan itu adalah untuk menyelamatkan ribuan nyawa rakyat akibat peperangan antara dua negara.

“Berbeza pendapat dalam politik itu perkara biasa, marah kepada lawan politik itu perkara biasa. Tetapi Islam tidak ajar untuk mendoakan kehancuran sesama Islam dan Islam tidak mengajar kita untuk menghina orang lain.

“Berbeza pendapat dengan fakta bukan dengan emosi yang tidak matang. Jika ada yang beritahu, dulu geng sebelah sini buat perkara yang sama juga maka jawapan saya, jika orang sebelum ni makan najis, adakah kita juga mahu buat perkara yang sama? Sudah tentu tidak bukan, sebab kita tahu itu perkara yang kotor.

“Tidak berniat langsung untuk menjadi penjilat apatah lagi walanon, malah ada juga perkara yang saya tidak bersetuju dengan beliau, tetapi perkara yang tidak betul harus kita tegur dan perkara yang betul harus kita berikan pujian,” ujar beliau.

Terdahulu, Amerika Syarikat (AS) memuji kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjadi orang tengah kepada persetujuan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat antara Thailand dengan Kemboja.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, berkata Washington menyambut baik pengumuman gencatan senjata Thailand-Kemboja yang diumumkan, semalam. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79