Desa Family Fun Walk Kukuh Silaturahim, Semai Semangat Komuniti

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri Palong, Datuk Mustapha Nagoor berbesar hati atas kejayaan penganjuran Desa Family Fun Walk D’Jelai.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jempol berkata, selain mengajak masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat ia juga medium terbaik untuk memperkukuh silaturahim.

“Alhamdulillah, selesai sudah Desa Family Fun Walk D’Jelai yang berlangsung penuh meriah, bersempena Karnival Madani Felda Zon Jelai, Felda Raja Alias di Kompleks Sukan Komuniti Jelai.

“Lebih 2,000 peserta hadir memeriahkan acara santai yang sarat makna ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi medan menyemai kasih sayang, memperkukuh silaturahim dan menguatkan semangat kebersamaan dalam komuniti kita.

“Pak Mus amat teruja melihat sokongan padu daripada semua lapisan masyarakat yang hadir,” katanya.

Mustapha dalam pada itu merakamkan penghargaan terhadap kerjasama dan komitmen kesemua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Katanya ia memperlihat semangat bergotong-royong serta perpaduan antara petugas, sukarelawan dan komuniti setempat.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat petugas, sukarelawan dan penduduk setempat – yang bertungkus lumus menjayakan program ini.

“Semoga semangat kekitaan ini terus mekar dalam Desa Madani yang kita impikan,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79