Buli Ancaman Serius, Wajar Diangkat Sebagai Agenda Nasional – Norliza

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim menzahirkan kekecewaan dan kebimbangan berhubung insiden-insiden buli yang semakin menjadi-jadi sehingga mengorbankan nyawa remaja dan pelajar.

Menurut beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), isu buli yang berlaku sama ada secara fizikal, emosi mahupun siber bukan sahaja mencederakan jasad, malah turut meninggalkan kesan psikologi yang mendalam dan boleh menghancurkan masa depan generasi muda.

“Sebagai seorang wanita, pemimpin, dan yang paling penting seorang ibu, saya berasa hancur hati apabila membaca laporan kematian akibat dibuli. Anak-anak ini menjadi mangsa perbuatan tidak berperikemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, sebagai Pengerusi PTPTN, pendidikan seharusnya menjadi platform membina impian dan masa depan, bukan tempat yang dipenuhi trauma dan ketakutan.
“Bagaimana anak-anak mahu belajar dan menggenggam masa depan jika mereka hidup dalam tekanan, ketakutan dan trauma?”

Sehubungan itu, beliau menggesa agar kerajaan mengambil tindakan segera dengan menggubal dan melaksanakan Dasar Nasional Menangani Buli yang merangkumi semua peringkat institusi pendidikan dari sekolah rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi.

Lima cadangan yang dikemukakan iaitu:
1. Penggubalan dan pelaksanaan Dasar Nasional Menangani Buli di semua institusi pendidikan;
2. Penubuhan saluran aduan yang telus, selamat dan mesra mangsa termasuk di kampus dan asrama;
3. Pemerkasaan atau penggubalan akta khas berkaitan buli supaya pelaku menerima hukuman setimpal;
4. Pelaksanaan modul wajib pendidikan nilai dan pencegahan buli di sekolah dan universiti;
5. Pengukuhan kerjasama antara kementerian, agensi kerajaan dan NGO dalam melindungi generasi muda.

Norliza turut menyeru agar seluruh masyarakat termasuk ibu bapa, pendidik dan pembuat dasar agar bangkit bersatu menentang budaya buli dan memastikan ia tidak dinormalisasikan dalam masyarakat.

“Tiada ibu yang sanggup kehilangan anak hanya kerana sikap cuai atau normalisasi budaya buli. Jangan tunggu nyawa terkorban lagi sebelum kita bertindak. Ini bukan sekadar isu dasar tetapi ini adalah perjuangan untuk masa depan anak-anak kita,” tegas beliau lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79